Bau busuk bongkar penemuan mayat reput di tebing Sungai Kelantan

KOTA BHARU – Bau busuk dihidu penduduk membongkar penemuan satu mayat reput di kawasan semak berhampiran tebing Sungai Kelantan di Kampung Cina di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu daripada orang awam pada jam 10.20 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mayat berkenaan dipercayai lelaki warga asing berdasarkan tiada kesan suntikan BCG pada badan.
“Mayat berpakaian seluar jeans paras lutut berwarna biru cerah dan ditemukan dalam keadaan sudah mereput,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohd Rosdi, bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada jam 9 pagi Isnin.
“Hasil pemeriksaan mendapati anggaran tempoh kematian adalah antara lima hingga tujuh hari sebelum mayat ditemui.
“Tiada kecederaan luaran dikesan dan punca kematian tidak dapat dipastikan kerana keadaan mayat mereput,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Mohd Rosdi turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Sarjan Mohd Fazle Mat Ali di talian 018-2436955 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Ringkasan AI
- Bau busuk dihidu penduduk membongkar penemuan mayat reput di kawasan semak berhampiran Sungai Kelantan
- Pihak polis menerima maklumat tentang penemuan mayat pada jam 10.20 malam
- Mayat dipercayai lelaki warga asing kerana tiada kesan suntikan BCG
- Bedah siasat mendapati anggaran tempoh kematian antara lima hingga tujuh hari sebelum mayat ditemui
- Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

