Ganjaran lawatan ke Jakarta, London buat pelajar cemerlang SPM 2025 Padang Terap

KUALA NERANG – Pelajar di daerah Padang Terap yang mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bakal menerima ganjaran istimewa berupa lawatan pendidikan ke Jakarta, Indonesia sebagai usaha meningkatkan motivasi dan daya saing akademik.
Bagi pelajar daripada sekolah angkat terpilih seperti Maktab Mahmud dan SMK Lubuk Merbau pula yang memperoleh keputusan semua A akan diberi peluang mengikuti lawatan pendidikan ke London, United Kingdom.
Menurut Pengerusi Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim, inisiatif berkenaan diperkenalkan sebagai pendekatan baharu bagi melonjakkan prestasi pelajar luar bandar khususnya dalam menghadapi peperiksaan utama seperti SPM.
“Pendedahan ini bertujuan memberi gambaran awal kepada pelajar cemerlang mengenai sistem pendidikan antarabangsa, sekali gus menyemai aspirasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya pada malam Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Malam Makan Malam Gala Jubli Perak 25 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang di sini.
Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang juga Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Zuraidi berkata, beliau yakin pendekatan tersebut diharapkan mampu meningkatkan bilangan pelajar cemerlang SPM di Padang Terap daripada kira-kira 30 orang sebelum ini kepada lebih 50 orang pada 2026.
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif tersebut akan digerakkan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap serta pengetua sekolah bagi memastikan perancangan dibuat secara berfokus dan berterusan.
“Kita mahu pelajar berani meletakkan sasaran besar terhadap masa depan mereka dan melihat sendiri peluang pendidikan di peringkat global,” ujarnya.
Tambah Zuraidi, penganjuran Malam Gala Jubli Perak SMK Kuala Nerang turut mencatat sejarah apabila berjaya mengadakan kutipan dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) secara besar-besaran buat pertama kali.
Menurutnya, kerjasama strategik bersama Mahdzir yang juga bekas Menteri Pendidikan akan menentukan hala tuju pendidikan jangka panjang di daerah Padang Terap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

