Wanita berputih mata, beg galas dalam kereta berisi wang RM10,000 dicuri

Rakaman CCTV di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki membuka pintu hadapan bahagian penumpang kenderaan itu sebelum melarikan beg galas berkenaan.
Rakaman CCTV di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki membuka pintu hadapan bahagian penumpang kenderaan itu sebelum melarikan beg galas berkenaan.
A
A
A

BALING - Seorang wanita berputih mata apabila beg galas berisi wang tunai RM10,000 yang ditinggalkan di dalam kenderaannya dicuri ketika dia membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada jam 11.40 pagi hari kejadian.

Menurutnya, pengadu memaklumkan dia meletakkan kenderaan jenis Toyota Avanza di hadapan pasar raya berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi sebelum masuk untuk membeli barangan keperluan.

Tangkap layar rakaman CCTV yang turut tular di media sosial.
Tangkap layar rakaman CCTV yang turut tular di media sosial.

“Pengadu meninggalkan beg galas berisi wang tunai di dalam kenderaan berkenaan sebelum masuk ke pasar raya.

“Selepas selesai membeli-belah, pengadu terus pulang ke rumah dan menyedari beg galas tersebut telah hilang dari dalam kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kenderaan mangsa diparkir kira-kira 15 meter dari pintu hadapan pasar raya berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an membuka pintu hadapan bahagian penumpang kenderaan itu sebelum melarikan beg galas berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Wang tunai yang hilang dipercayai merupakan hasil perniagaan pengadu yang mahu disimpan di dalam bank,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Ringkasan AI

  • Seorang wanita kehilangan beg galas berisi RM10,000 ketika beli barangan keperluan di pasar raya Baling
  • Polis Baling terima laporan kecurian pada 11.40 pagi hari kejadian
  • Kenderaan mangsa, Toyota Avanza, diparkir 15 meter dari pasar raya
  • CCTV rakam lelaki warga tempatan curi beg dari kenderaan
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!