Pekerja gerai rugi RM3,000 beg tangan dicuri

KOTA TINGGI – Seorang pekerja gerai makanan kerugian kira-kira RM3,000 selepas beg tangannya dicuri seorang lelaki tidak dikenali di Medan Selera Sanggar Kota di sini pada Isnin.
Kejadian kira-kira jam 3.58 petang itu tular di media sosial menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan suspek melarikan beg tangan milik mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang juga wanita tempatan berusia 41 tahun berada di hadapan gerai didatangi seorang lelaki tidak dikenali.
Menurutnya, suspek kemudian mengambil beg tangan milik mangsa yang diletakkan di atas meja sebelum melarikan diri.
"Beg tangan itu mengandungi beberapa barangan peribadi milik mangsa dengan jumlah kerugian dianggarkan RM3,000.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati rakaman CCTV di kawasan kejadian menunjukkan seorang lelaki disyaki terbabit berlari ke arah sebuah kereta sambil membawa beg tangan berkenaan sebelum beredar dari lokasi.
Katanya, polis sedang giat mengesan dan mengenal pasti kedua-dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Ayu Hidayah di talian 019-9089066 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
`
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

