Rafah bakal jadi 'kem kurungan' penduduk Gaza

TEL AVIV - Kawasan di bahagian selatan Genting Gaza telah dibersihkan untuk menubuhkan ‘kem kurungan’ bagi menempatkan penduduk Palestin.
Rancangan itu didedahkan Jeneral bersara askar simpanan Zionis, Brigadier Jeneral Amir Avivi yang mendakwa, kemudahan tersebut akan dibangunkan di kawasan Rafah.
“Ia adalah sebuah kem besar yang mampu menampung ratusan ribu penduduk Palestin. Laluan masuk ke kemudahan itu juga akan dilengkapi teknologi pengawasan dan pengecaman wajah.
“Infrastruktur itu akan menjadi ‘tempat persinggahan’ penduduk Palestin yang mahu meninggalkan Gaza ke Mesir dan mereka yang mahu kekal berada di wilayah itu,” ujarnya.

Avivi membuat pendedahan itu ketika Israel bersedia dengan pembukaan semula Lintasan Rafah secara terhad yang merupakan salah satu syarat utama di bawah pelan damai dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menamatkan Perang Gaza.
Baru-baru ini, sumber rapat Tel Aviv mendakwa, kerajaan ‘ekstremis’ pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu itu mahu memastikan lebih ramai penduduk Palestin meninggalkan Gaza secara sukarela.
“Hampir tiada lagi penduduk Gaza di Rafah,” kata Avivi sambil menambah kawasan itu kini berada sepenuhnya di bawah kawalan Zionis memandangkan ramai yang sudah melarikan diri ke kawasan tengah dan utara.
Pada Julai 2025, Menteri Pertahanan, Israel Katz berkata, arahan tentang pembinaan kem di Rafah itu telah dikeluarkan dan dipercayai dalam fasa pembinaan.

Sebelum ini, Israel pernah menubuhkan ‘zon selamat’ di al-Mawasi, selatan Gaza hingga menyebabkan ratusan ribu penduduk Palestin terpaksa bersesak ketika perang ganas terus memuncak.
Bagi Ketua Pejabat Media Gaza, Ismail al-Thawabta, idea jahat itu sebenarnya hanyalah untuk mengaburi mata komuniti antarabangsa tentang pemindahan paksa hampir dua juta penduduk Palestin.
Zionis ancam perang baharu
Pelan damai Gaza diusahakan AS kini memasuki fasa kedua dengan penubuhan entiti kontroversi, ‘Lembaga Keamanan’ dan gesakan supaya pejuang Hamas meletak senjata kononnya sebagai pertukaran dengan pengunduran tentera Israel dari wilayah itu.
Avivi bagaimanapun mendakwa, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bersedia untuk melancarkan operasi ketenteraan baharu ke atas Hamas termasuk menggempur semula bandar Gaza.

“Kem di Rafah itu akan digunakan untuk menempatkan penduduk Palestin jika perang meletus kembali. Rancangan sudah ditetapkan dan hanya menunggu arahan daripada pemerintah,” katanya.
Anggota Kabinet Israel, Avi Dichter dengan angkuh berkata, keengganan Hamas untuk berbuat demikian akan menjerumuskan semula Gaza ke dalam kancah peperangan lebih ganas.
Sebelum ini, pejuang bumi Gaza itu secara terbuka menolak desakan Israel dan sekutu kuatnya, AS kerana cadangan penyerahan senjata lebih terperinci dan konkrit tidak dikemukakan kepada mereka.
Menurut dokumen dikongsikan di Rumah Putih pada minggu lalu, pentadbiran Trump mahu senjata berat dilucutkan serta-merta manakala senjata peribadi didaftarkan dan dilucutkan mengikut sektor apabila pasukan polis di bawah pentadbiran teknokrat sementara berupaya menjamin keselamatan di Gaza.
Proses pelucutan senjata itu berkemungkinan disertai dengan pengampunan khas untuk anggota Hamas. - Agensi
Ringkasan AI
- Kawasan selatan Genting Gaza dibersihkan untuk menubuhkan "kem kurungan" bagi penduduk Palestin di kawasan Rafah
- Kem fasiliti ini akan menampung ratusan ribu penduduk Palestin dan dilengkapi teknologi pengawasan serta pengecaman wajah
- Infrastruktur berperanan sebagai tempat persinggahan bagi penduduk Palestin yang ingin ke Mesir atau kekal di wilayah tersebut
- Pembinaan kem di Rafah ini adalah sebahagian daripada usaha Israel mengurangkan jumlah penduduk Palestin di Gaza secara sukarela
- Rancangan ini dipandang sebagai usaha mengaburi mata komuniti antarabangsa tentang pemindahan paksa penduduk Palestin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

