'Saya dilantik Tan Sri Muhyiddin' - Dr Sahruddin

JOHOR BAHRU – “Kuasa melantik saya sebagai Ketua Bersatu Johor ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)."
Demikian respons Datuk Dr Sahruddin Jamal mengenai dakwaan bahawa seramai 14 Ketua Bahagian Bersatu Johor telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.
Beliau berkata, sebarang ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan negeri seharusnya dibincangkan melalui saluran dalaman parti dan bukan dibawa ke media menerusi sidang akhbar.
“Tidak wajar untuk mereka mengadakan sidang akhbar seperti semalam. Sebaliknya, saluran yang betul adalah dengan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan parti.
“Mereka mendakwa ada 14 ketua bahagian, namun saya meraguinya. Jumlah sebenar yang terlibat hanyalah sembilan orang dan bukannya 14 seperti didakwa,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus bekerjasama dengan semua Ketua Bahagian Bersatu di negeri ini.
“Keutamaan kita ketika ini adalah untuk memperkukuhkan parti dan memberi tumpuan menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.
Pada Selasa, Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab Hamid dilaporkan berkata, seramai 14 Ketua Bahagian Bersatu Johor dikatakan telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Dr Sahruddin.
Pada 30 Disember lalu, Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ringkasan AI
- Kuasa melantik Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Ketua Bersatu Johor datangnya dari Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Sebarang ketidakpuasan dalam parti seharusnya dibincangkan melalui saluran dalaman
- Dr Sahruddin meragui dakwaan bahawa 14 Ketua Bahagian Bersatu Johor hilang kepercayaan terhadapnya, menyatakan hanya sembilan orang sebenarnya
- Beliau bersedia untuk terus bekerjasama dengan semua Ketua Bahagian Bersatu di Johor
- Dr Sahruddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Johor pada 30 Disember
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


