SkyWorld buka galeri jualan pertama di Pulau Pinang

SKYWORLD Development Berhad (SkyWorld) terus mengorak langkah memperkukuh jenamanya di wilayah utara dengan pembukaan galeri jualan pertamanya di Pulau Pinang, iaitu SkyWorld Gallery @ Seberang Jaya, pada Rabu.
Pembukaan galeri berkenaan turut menyaksikan pengenalan Pusat Pameran PPVC (Prefabricated Prefinished Volumetric Construction) dan Pusat Kualiti Satelit SkyWorld kepada pasaran utara, sekali gus mengukuhkan komitmen pemaju bandar itu terhadap inovasi produk serta penyampaian kualiti.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, pembukaan SkyWorld Gallery @ Seberang Jaya menandakan satu pencapaian penting dalam strategi peluasan syarikat ke wilayah Malaysia Utara.
“Dengan membawa Pusat Pengalaman PPVC dan Pusat Kualiti Satelit ke Pulau Pinang, kami berhasrat meningkatkan pengalaman pembeli rumah terhadap aspek kualiti dan inovasi dalam setiap kediaman SkyWorld,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan khas media ke Pusat Pameran PPVC dan Pusat Kualiti Satelit pada Rabu.
Selain itu, petugas media turut berpeluang menyaksikan pratonton eksklusif unit pameran SkyWorld Pearlmont.
Dalam pada itu, Chee Seng berkata, galeri tersebut bukan sekadar galeri jualan konvensional, malah berfungsi sebagai hab interaksi dan pembelajaran bagi memberi pendedahan lebih mendalam kepada pengunjung mengenai pendekatan pembinaan berindustri yang diamalkan SkyWorld.
“Di Pusat Pengalaman PPVC, pengunjung diperkenalkan kepada proses PPVC secara menyeluruh, iaitu modul bangunan yang siap sepenuhnya dihasilkan dalam persekitaran kilang terkawal sebelum dipasang di tapak projek.
“Kaedah pembinaan ini membolehkan tahap ketepatan dan konsistensi yang lebih tinggi, tempoh pembinaan lebih singkat serta proses yang lebih mampan dengan pengurangan sisa dan gangguan di tapak,” katanya.

Sementara itu, di Pusat Kualiti Satelit SkyWorld pula, Chee Seng berkata, ia mempamerkan rangka kerja pengurusan kualiti syarikat melalui Pelan Pemeriksaan dan Ujian (Inspection & Test Plan) yang merangkumi kerja sivil dan struktur, kemasan seni bina serta komponen utama lain.
Katanya, pusat tersebut mencerminkan falsafah SkyWorld bahawa kualiti perlu diterapkan sepanjang perjalanan pembinaan dan bukan hanya dinilai selepas projek siap.
“Kemasukan SkyWorld ke Pulau Pinang dipacu oleh pembangunan SkyWorld Pearlmont, iaitu projek perumahan mampu milik berstatus pegangan bebas seluas 34 ekar di Seberang Jaya di bawah inisiatif Rumah Bakat Madani.
“Setakat ini, lebih 80 peratus daripada 1,166 unit yang dilancarkan bagi Fasa 1A telah terjual, sekali gus mencerminkan keyakinan pasaran yang tinggi terhadap teknologi PPVC serta pendekatan pembinaan berindustri SkyWorld,” tambahnya.
Ringkasan AI
- SkyWorld Development Berhad membuka galeri jualan pertama di Pulau Pinang
- Pembukaan tersebut menandakan pencapaian penting dalam strategi peluasan syarikat ke wilayah Malaysia Utara
- Pusat Pameran PPVC dan Pusat Kualiti Satelit dimaksudkan untuk meningkatkan pengalaman pembeli rumah terhadap kualiti dan inovasi
- Galeri berfungsi sebagai hab interaksi dan pembelajaran mengenai pendekatan pembinaan berindustri
- Lebih 80 peratus dari 1,166 unit Fasa 1A projek SkyWorld Pearlmont telah terjual, mencerminkan keyakinan pasaran terhadap teknologi PPVC dan pendekatan pembinaan berindustri SkyWorld
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

