Gara-gara sandwic, ketua polis ditikam hingga maut

PATIALA - Seorang Ketua Konstabel polis di Punjab dilaporkan ditikam hingga maut dalam pertengkaran kecil mengenai pembayaran sandwic.
Mangsa, Amandeep Singh yang bertugas di Balai Polis Civil Lines, Patiala, diserang oleh enam individu pada 25 Januari lalu dan meninggal dunia akibat kecederaan.
Menurut SSP Varun Sharma, ketika kejadian Amandeep tidak memakai uniform dan pergi makan bersama abangnya di sebuah gerai.
Pertikaian tercetus apabila berlaku perbalahan kecil dengan seorang remaja mengenai pembayaran makanan dan mangsa serta abangnya menyatakan akan membayar selepas selesai makan.
Semasa pertengkaran semakin hangat, remaja berkenaan dikatakan membuat panggilan, menyebabkan enam rakannya datang dan menyerang Amandeep dengan pisau.
Dalam serangan itu, beliau ditikam dua kali dari belakang dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala abangnya cedera parah.
Polis Patiala berkata, semua enam suspek termasuk dua di bawah umur, telah ditahan dalam masa 36 jam selepas kejadian.
Mereka dikenal pasti sebagai Ashi, Hira, Rahul, Kaif, Ricky dan seorang remaja lagi.
Suspek dikatakan melarikan diri dari Nabha selepas kejadian dan menuju ke daerah lain, tetapi akhirnya ditangkap melalui operasi bersama antara pasukan polis daerah Patiala dan Ludhiana, dengan beberapa tangkapan dibuat di Ludhiana. - Agensi
Ringkasan AI
- Ketua Konstabel polis di Punjab ditikam hingga maut kerana pertikaian pembayaran sandwic
- Mangsa, Amandeep Singh diserang oleh enam individu dan meninggal akibat kecederaan
- Amandeep sedang makan tanpa memakai uniform bersama abangnya ketika diserang
- Pertikaian tercetus apabila mangsa dan abangnya berjanji akan membayar makanan selepas makan
- Semua enam suspek telah ditahan dalam masa 36 jam selepas kejadian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

