Pas Negeri Sembilan bantah usaha halus iktiraf UEC

Ismail (gambar kecil) berkata, Pas Negeri Sembilan berpendirian bahawa keadilan dalam sistem pendidikan di Malaysia mesti ditegakkan.
Ismail (gambar kecil) berkata, Pas Negeri Sembilan berpendirian bahawa keadilan dalam sistem pendidikan di Malaysia mesti ditegakkan.
A
A
A

SEREMBAN – Pas Negeri Sembilan membantah sekeras-kerasnya pendekatan secara tidak langsung Kerajaan Persekutuan dalam memberi laluan kepada pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ketua Penerangan Pas Negeri Sembilan, Ismail Mahat berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju pelajar yang memperoleh kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah layak memohon kemasukan ke universiti awam adalah jelas membuka ruang kepada pengiktirafan UEC secara tersirat.

“Pas Negeri Sembilan menegaskan bahawa keadilan dalam sistem pendidikan di Malaysia mesti ditegakkan.

“Semua pihak tanpa pengecualian seharusnya tertakluk dan patuh kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan, yang mana pelajar yang mengikuti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan mengambil sekurang-kurangnya enam mata pelajaran teras.

"Sebarang sistem pendidikan lain juga perlu mematuhi prinsip serta standard yang sama demi memastikan keadilan kepada semua pelajar,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, sebarang usaha mengiktiraf UEC, sama ada secara langsung atau melalui kaedah halus, adalah bercanggah dengan dasar pendidikan nasional.

Tambahnya, langkah itu juga boleh menimbulkan ketidakadilan dalam sistem pendidikan negara.

“Isu ini wajar dibincangkan secara telus, terbuka dan berprinsip, bukannya melalui keputusan senyap yang mengelirukan rakyat,” katanya lagi.

Memetik laporan Malaysiakini, Anthony dilaporkan berkata, bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meminda dasar bagi membolehkan pelajar dari sekolah bukan kerajaan menduduki hanya kertas Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan SPM.

Artikel Berkaitan:

Berucap pada majlis penyerahan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina di Sekolah Menengah Pay Fong, Melaka, Anthony berkata, Mesyuarat Kabinet telah memutuskan bahawa mana-mana pelajar yang mendapat kepujian dalam mata pelajaran tersebut layak memohon ke universiti awam.

Sehubungan itu, ujarnya, KPM akan menyemak semula dasar tersebut bagi membenarkan pelajar dari sekolah bukan kerajaan, termasuk sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan sekolah agama, menduduki hanya dua mata pelajaran berkenaan.

Ujarnya lagi, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan mengadakan pertemuan dengan Dong Zong pada Isnin untuk perbincangan lanjut dan selepas itu akan mengeluarkan satu kenyataan bersama.

Ringkasan AI

  • Pas Negeri Sembilan membantah pengiktirafan UEC secara tidak langsung
  • Ismail Mahat menekankan keadilan sistem pendidikan mesti ditegakkan
  • Pendekatan pengiktirafan UEC disifatkan bertentangan dengan dasar pendidikan nasional
  • Langkah pengiktirafan secara tidak langsung boleh menimbulkan ketidakadilan
  • Pas meminta isu ini dibincangkan secara telus dan terbuka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!