Komunikasi strategik kunci bina kepercayaan awam terhadap SPRM

SPRM bukan hanya memfokuskan kepada aspek operasi dan siasatan, malah turut aktif dalam usaha pendidikan masyarakat, komunikasi strategik serta penambahbaikan tatakelola organisasi.
SPRM bukan hanya memfokuskan kepada aspek operasi dan siasatan, malah turut aktif dalam usaha pendidikan masyarakat, komunikasi strategik serta penambahbaikan tatakelola organisasi.
A
A
A

ALOR SETAR – Komunikasi strategik yang berkesan dan berimpak merupakan antara elemen penting dalam membina kepercayaan masyarakat terhadap komitmen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha membanteras rasuah secara menyeluruh.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Hisyam Mohd Yusoff berkata, penyampaian maklumat yang tepat, tersusun dan konsisten melalui media perlu diperkukuh seiring dengan peranan SPRM yang tidak hanya tertumpu kepada aspek operasi dan siasatan semata-mata.

Menurutnya, SPRM turut aktif melaksanakan pelbagai inisiatif seperti pendidikan masyarakat, komunikasi strategik serta penambahbaikan tadbir urus organisasi bagi menyokong agenda pencegahan rasuah negara.

“Pegawai Perhubungan Komunikasi (PPK) memainkan peranan signifikan dalam memastikan mesej pencegahan rasuah dapat disampaikan secara berkesan, tepat dan meluas melalui pelbagai saluran komunikasi, khususnya media,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pemantapan Pengurusan Media Zon Utara yang diadakan di Pejabat SPRM Negeri Kedah, Cawangan Anak Bukit di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hisyam menekankan bahawa penguasaan kemahiran penulisan laporan berita yang baik amat penting bagi memastikan setiap aktiviti, kejayaan dan inisiatif SPRM dapat dilaporkan secara profesional kepada masyarakat.

“Laporan yang disusun dengan baik bukan sahaja membantu penyampaian maklumat, malah mampu meningkatkan kefahaman awam terhadap peranan dan fungsi SPRM,” jelasnya.

Program selama dua hari itu melibatkan seramai 15 pegawai SPRM dari Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis, dengan objektif meningkatkan keupayaan pengurusan media serta penyampaian maklumat yang lebih efektif.

Menurut Hisyam, pelaksanaan program ini juga selaras dengan amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang menekankan keperluan kolaborasi berterusan antara SPRM dan pelbagai pihak termasuk media.

Artikel Berkaitan:

“Menerusi program ini, peserta diberi pendedahan berkenaan teknik pengurusan media, komunikasi strategik serta penulisan laporan berbentuk berita dan rencana mengikut piawaian penerbitan.

“Pegawai-pegawai BKS turut berkongsi panduan berkaitan format dan gaya penulisan laporan berita serta teknik fotografi bagi tujuan hebahan dalaman dan liputan media,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kedah, Penolong Pesuruhjaya Syed Aswadi Syed Soffian, yang mewakili Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong, berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan program perkongsian kepakaran dan pembelajaran seperti itu.

“Program ini membantu meningkatkan kemahiran pegawai, khususnya dalam aspek penulisan dan pengurusan media, selain menyeragamkan gaya penulisan mengikut standard penerbitan yang ditetapkan.

“Ia juga memastikan setiap hebahan yang dibuat lebih tersusun dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama serta perkongsian ilmu antara SPRM negeri-negeri di Zon Utara dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkasakan fungsi komunikasi strategik dan peranan advokasi SPRM di peringkat akar umbi.

Majlis penutupan turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Kanan BKS SPRM, Badrila Jamlus dan Ketua Penolong Pengarah BKS SPRM, Azrai Mohammad.

Ringkasan AI

  • Komunikasi strategik penting untuk membina kepercayaan masyarakat terhadap usaha SPRM membanteras rasuah
  • Pegawai Perhubungan Komunikasi memainkan peranan signifikan dalam menyampaikan mesej pencegahan rasuah
  • Penguasaan kemahiran penulisan berita penting untuk melaporkan aktiviti dan inisiatif SPRM secara profesional
  • Program pembelajaran mengenai pengurusan media dan komunikasi strategik diadakan untuk pegawai SPRM dari empat negeri
  • Kemahiran pegawai dalam penulisan dan pengurusan media ditingkatkan melalui program, sesuai dengan standard penerbitan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!