Bersatu Johor nafi dakwaan majoriti Ketua Bahagian hilang kepercayaan

Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai 14 bahagian Bersatu Johor mendesak supaya Dr Sahrudin berundur.
Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai 14 bahagian Bersatu Johor mendesak supaya Dr Sahrudin berundur.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menegaskan dakwaan kononnya majoriti Ketua Bahagian parti itu hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negeri adalah tidak benar dan bersifat mengelirukan.

Setiausahanya, Samsudin Ismail berkata, hanya sembilan Ketua Bahagian terlibat dalam desakan tersebut, bukannya 14 seperti yang didakwa sebelum ini.

Jelasnya, ia sekali gus menafikan tanggapan kepimpinan negeri telah kehilangan sokongan majoriti daripada keseluruhan 26 Ketua Bahagian di negeri ini.

“Kenyataan mengenai kepimpinan negeri tidak mengambil cakna terhadap isu akar umbi adalah tohmahan yang tidak berasas.

"Semua Ketua Bahagian telah diberi ruang untuk menyuarakan pandangan melalui mesyuarat rasmi, program parti serta sesi libat urus bersama pimpinan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, menurut beliau, sebahagian individu yang kini membuat kenyataan secara terbuka didapati tidak menghadiri beberapa mesyuarat dan program rasmi parti sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap dakwaan kononnya saluran dalaman tidak disediakan.

Tambahnya, BPN turut berpandangan bahawa tindakan mengadakan sidang akhbar secara terbuka hanya akan menjejaskan imej parti, mengelirukan ahli di peringkat akar umbi serta membuka ruang kepada pihak lawan untuk mengeksploitasi perpecahan dalaman.

Dalam pada itu, Shamsudin menegaskan Datuk Dr Sahruddin Jamal kekal sebagai pemimpin berprinsip yang sentiasa mengutamakan kepentingan parti sepanjang menerajui kepimpinan parti.

Jelasnya, Dr Sahruddin yang juga ADUN Bukit Kepong turut menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pimpinan atasan untuk menilai kedudukannya selaras dengan perlembagaan dan amalan parti.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menyeru semua Ketua Bahagian dan ahli parti agar menghentikan polemik terbuka serta kembali menyelesaikan perbezaan pandangan melalui saluran dalaman secara berhemah demi kestabilan dan masa depan Bersatu di Johor.

“Parti ini dibina atas asas perjuangan, bukan sentimen peribadi,” tegasnya.

Pada Selasa, seramai 14 daripada 26 Ketua Bersatu Johor mendesak Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Dr Sahruddin Jamal berundur demi masa depan parti.

Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab Hamid yang bertindak sebagai jurucakap kepada bahagian terlibat, mendakwa hilang sokongan dan kepercayaan.

Ringkasan AI

  • BPN Parti Pribumi Bersatu Malaysia Johor menolak dakwaan hilang kepercayaan pada kepimpinan negeri
  • Hanya sembilan Ketua Bahagian yang terlibat dalam desakan bukan 14
  • Tindakan mengadakan sidang akhbar dianggap merosakkan imej parti
  • Datuk Dr Sahruddin Jamal diakui sebagai pemimpin berprinsip
  • Seruan kepada ahli parti untuk menyelesaikan perbezaan melalui saluran dalaman

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!