Taktik apung guni guna gabus gagal, kastam rampas 13kg ganja

Ismail (tengah) menunjukkan guni berisi ganja serta gabus yang digunakan sindiket pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Perlis, Kangar.
Ismail (tengah) menunjukkan guni berisi ganja serta gabus yang digunakan sindiket pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Perlis, Kangar.
A
A
A

KANGAR – Taktik licik sindiket penyeludupan dadah yang menggunakan gabus untuk mengapungkan guni berisi ganja di perairan Kuala Perlis gagal apabila bahan terlarang itu berjaya dikesan dan dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis pada 4 Januari lalu.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, rampasan dilakukan oleh pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis ketika rondaan di perairan kira-kira jam 8 malam.

Menurutnya, pasukan terbabit menemukan sebuah guni berwarna merah jambu bertulisan bahasa Thai yang diikat pada gabus dan terapung di perairan berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

“Hasil pemeriksaan ke atas guni tersebut mendapati ia mengandungi 13 ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 13 kilogram dan nilai dianggarkan RM40,300,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Perlis di sini pada Rabu.

Ismail berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan meninggalkan guni berisi dadah dalam keadaan terapung di perairan sebelum dipungut oleh individu lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Jelasnya, pasukan operasi telah menunggu selama kira-kira 30 minit di lokasi penemuan, namun tiada mana-mana individu dilihat menghampiri guni tersebut.

"Bekalan ganja itu dipercayai untuk pasaran utara Semenanjung dan Lembah Klang, selain boleh digunakan oleh kira-kira 65,000 penagih," ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, Ismail memaklumkan bahawa pihaknya turut menyita 50,000 batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM15,000, dengan jumlah cukai sebanyak RM34,500 dalam satu serbuan di Arau pada 12 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rokok tersebut ditemui berhampiran tandas hasil pemeriksaan ke atas sebuah premis terbiar di Kampung Guar Nangka, yang dipercayai dijadikan lokasi transit sementara sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Bekalan rokok itu dipercayai dibawa masuk dari kawasan selatan atau Lembah Klang untuk pasaran negeri ini," jelasnya.

Menurutnya lagi, rokok merupakan barangan larangan dan tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kastam seperti ditetapkan dalam Butiran 1 Jadual III, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Ringkasan AI

  • Sindiket penyeludupan dadah menggunakan gabus untuk mengapungkan guni ganja gagal dikesan oleh JKDM Perlis
  • Ganja seberat 13 kilogram dengan nilai RM40,300 dirampas
  • Sindiket meninggalkan guni dadah terapung untuk diambil individu lain mengelak dikesan pihak berkuasa
  • Bekalan ganja itu dipercayai untuk pasaran utara Semenanjung dan Lembah Klang
  • Turut menyita 50,000 batang rokok seludup dianggarkan bernilai RM15,000 dalam serbuan di Arau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!