Harimau Malaya perlu berhati-hati jika mahu turunkan tujuh pemain warisan

MALAYSIA perlu bersedia berhadapan dengan pelbagai risiko besar sekiranya berhasrat untuk menggunakan khidmat tujuh pemain warisan, susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan hukuman mereka pada Isnin lalu.
Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berkata, pihaknya masih belum mempunyai butiran lengkap mengenai status terkini tujuh pemain berkenaan dan perkara itu memerlukan perbincangan lanjut bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Jelasnya, situasi tersebut masih samar terutamanya melibatkan kelayakan mereka untuk mewakili skuad kebangsaan.
"Kita baru terima surat daripada FIFA dan tidak ada banyak butiran. Kita sedang membincangkan perkara ini dengan FIFA untuk mendapatkan maklumat terperinci sama ada pemain ini boleh beraksi untuk Malaysia atau tidak.
"Apa yang pasti, pemain ini dapat beraksi untuk kelab masing-masing. Namun, sama ada mereka boleh diturunkan bersama pasukan kebangsaan, kita masih menunggu penjelasan lanjut daripada FIFA.
"Sebab utamanya ialah FIFA sudah membuat keputusan berasingan mengenai status perlawanan persahabatan terdahulu, dan di situ berlaku percanggahan. Jadi, kita perlu meneliti butiran terperinci terlebih dahulu," katanya.
Terdahulu, CAS membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Kesemua pemain tersebut sebelum ini digantung selama 12 bulan selepas didapati bersalah memalsukan dokumen.
Mengulas lanjut, Windsor menegaskan bahawa tanggungjawab kini terletak sepenuhnya di bahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), khususnya dalam merencana percaturan bagi perlawanan antarabangsa, termasuk aksi penting Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam di Pusat Sukan Thien Truong, Nam Dinh pada 31 Mac depan.
Beliau mengingatkan bahawa keputusan CAS bukanlah muktamad, sebaliknya sekadar penangguhan sementara yang membolehkan pemain kembali beraksi buat masa ini.
"CAS belum membuat keputusan muktamad dan penangguhan pelaksanaan hukuman ini boleh dilihat sebagai jaminan sementara. CAS mungkin hanya akan mengeluarkan keputusan akhir pada Februari atau Mac nanti," ujarnya.
Pada Disember lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah menjatuhkan hukuman pemotongan mata terhadap Malaysia selepas mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025).
Hukuman itu dikenakan ekoran tindakan menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan antarabangsa Tier 1 membabitkan aksi menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin.
Ringkasan AI
- MALAYSIA berisiko besar jika menggunakan tujuh pemain warisan setelah keputusan CAS menangguhkan hukuman mereka
- Status tujuh pemain tersebut masih samar terutamanya dalam kelayakan mewakili skuad kebangsaan
- FIFA belum memberikan penjelasan lanjut sama ada pemain ini boleh beraksi untuk Malaysia atau tidak
- Pemain tersebut sebelum ini digantung selama 12 bulan selepas didapati bersalah memalsukan dokumen
- Keputusan CAS bukan muktamad, hanya penangguhan sementara, keputusan akhir mungkin pada Februari atau Mac nanti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
