[VIDEO] Pentauliahan LCS 1 dipinda Disember 2026, LCS 2 Ogos tahun hadapan - Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR- [DIKEMAS KINI] Jadual pentauliahan Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) dipinda ke Disember 2026 manakala LCS 2 pula pada Ogos tahun hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia berdasarkan maklum balas oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS) yang dikemukan kepada pasukan projek.
Menurut beliau, bagi kapal-kapal berikutnya, pentauliahan LCS 3 kekal pada Disember 2027, LCS 4 pada Ogos 2028 dan LCS 5 pada April 2029.
"Untuk makluman, sehingga 25 Disember 2025, kementerian dimaklumkan oleh LUNAS bahawa kemajuan keseluruhan Projek LCS telah mencapai 75.75 peratus sebenar berbanding 81.57 peratus perancangan.
"Khusus bagi LCS 1, kemajuan semasa adalah 82.90 peratus sebenar berbanding 96.52 peratus dirancang. Kemajuan projek ini meliputi pembinaan struktur kapal, pemasangan peralatan utama dan integrasi sistem-sistem kapal.
"Walaupun terdapat kelewatan berbanding jadual asal, kementerian dimaklumkan oleh pihak LUNAS bahawa LCS 1 telah berjaya diluncurkan ke air dan kini berada dalam fasa pemasangan serta integrasi sistem utama kapal," katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan dalam Dewan Rakyat di sini pada Rabu
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) meminta Menteri Pertahanan menyatakan status prestasi sea trial LCS 1 dan sama ada kapal itu dapat ditauliahkan mengikut jadual seawal Ogos tahun ini.

Tambah Mohamed Khaled, fasa ujian laut bagi LCS 1 di peringkat limbungan telah bermula sejak 20 Januari 2026.
Beliau berkata, seterusnya memulakan 'first sea going' pada 28 Januari 2026 bagi tujuan yang meliputi pengujian sistem jentera, janakuasa, sistem penghawa dingin dan propulsion system.
"Ini adalah proses permulaan bagi memastikan LCS 1 berkeupayaan untuk berlayar di lautan.
"Manakala persediaan platform dan peralatan sedang giat dilaksanakan untuk membolehkan sea trial penuh dimulakan pada awal April 2026," ujarnya.
Dari segi kos, beliau memberitahu, nilai keseluruhan kontrak Projek LCS adalah sebanyak RM11.2 bilion untuk kelima-lima buah kapal.
"Perbelanjaan semasa berjumlah RM8.3 bilion atau lebih kurang 74 peratus daripada jumlah keseluruhan.
"Dalam memastikan ketelusan dan kawal selia yang berterusan, Kementerian Pertahanan telah mewujudkan pelbagai platform pemantauan seperti Project Management Review (PMR), Project Monitoring Committee (PMC) serta Jawatankuasa Teknikal yang bersidang secara berkala, dengan penglibatan menyeluruh TLDM sebagai end-user dan pihak LUNAS," katanya.
Ringkasan AI
- Jadual pentauliahan Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) dipinda ke Disember 2026 sementara LCS 2 pada Ogos tahun depan Kemajuan Projek LCS telah mencapai 75.75 peratus sehingga 25 Disember 2025, dengan LCS 1 mencapai 82.90 peratus kemajuan Kapal LCS 1 telah berjaya diluncurkan ke air dan sedang dalam fasa pemasangan serta integrasi sistem utama Fasa ujian laut bagi LCS 1 telah bermula pada 20 Januari 2026 dengan persiapan untuk sea trial penuh pada awal April 2026 Nilai keseluruhan kontrak Projek LCS adalah RM11.2 bilion dengan perbelanjaan semasa berjumlah RM8.3 bilion
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

