Perak bantu pemaju teruskan projek rumah terbengkalai

Ahmad Faizal (kiri) menyempurnakan majlis Pecah Tanah Rumah Mesra Milik kerjasama projek antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dengan MK Land Holdings Berhad di Mukim Teja, Jalan Gopeng.
Ahmad Faizal (kiri) menyempurnakan majlis Pecah Tanah Rumah Mesra Milik kerjasama projek antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dengan MK Land Holdings Berhad di Mukim Teja, Jalan Gopeng.
A
A
A

GOPENG - Kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sedang dalam rundingan bersama pemaju untuk memastikan mana-mana projek perumahan kos rendah yang terbengkalai, dapat diteruskan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pendekatan itu bagi memastikan perumahan yang dirancang itu dapat dibina sekaligus memenuhi permintaan tinggi penduduk terhadap rumah kos rendah di negeri ini.

Menurutnya, kebanyakan pemaju ini, berdepan masalah kewangan sementara sebahagiannya sudah tidak mampu meneruskan pembinaan.

"Pemaju yang terlibat dengan projek-projek terbengkalai ini telah kita panggil untuk berbincang, kajian semula terhadap perjanjian-perjanjian lama juga dibuat untuk pastikan projek dapat berjalan lebih laju.

"Yang ada masalah kewangan, kita akan bantu cari jalan, tetapi mana yang tidak mampu teruskan langsung, kita terpaksa dapatkan projek lain.

"Dalam hal ini, bukan kepentingan pemaju yang kita nak jaga, sebaliknya nak penuhi permintaan orang ramai, caranya kena pastikan projek-projek ini berjalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pecah Tanah Rumah Mesra Milik iaitu projek kerjasama antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dengan MK Land Holdings Berhad di Mukim Teja, Jalan Gopeng.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong; Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Felina Mustapha Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal berkata, di bawah skim Rumah Perakku, sebanyak 30,000 unit rumah kos rendah yang ditawarkan pada harga RM40,000 telah dan sedang dibangunkan di seluruh negeri ini melibatkan kerjasama LPHP dengan swasta.

"Untuk rumah-rumah kos rendah, permintaannya cukup tinggi, tetapi kita juga yakin sasaran membina 50,000 unit akan dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun ini sekiranya semua pihak memberikan kerjasama yang baik," katanya.

Mengulas kerjasama strategik itu, beliau berkata, projek di tanah seluas 219 ekar itu bakal dibangunkan 2,166 unit rumah dan 155 unit rumah kedai dengan nilai Nilai Pembangunan Kasar sekitar RM709 juta.

Menurutnya, sebanyak 1,112 unit rumah teres atau 51 peratus daripada jumlah kediaman dibina ditawarkan pada harga bermula dari serendah RM70,000 hingga RM250,000.

"Ini memberi peluang kepada mereka dengan pendapatan bulanan isi rumah antara RM1,800 hingga RM3,800 untuk memiliki kediaman pertama mereka.

"Bagi fasa pertama, sebanyak 259 unit rumah akan dimulakan pembinaannya secepat mungkin dan kira-kira 200 unit lagi dibina di setiap fasa seterusnya, bergantung kepada permintaan," katanya.