AS ulang taktik serupa, isyarat sedia berperang dengan Iran

WASHINGTON — Kapal pengangkut pesawat, USS Abraham Lincoln bersama tiga kapal perang tentera Amerika Syarikat (AS) telah tiba di perairan Asia Barat.
Kehadiran armada tersebut telah mencetuskan kebimbangan yang Presiden Donald Trump mungkin menggunakan taktik serupa sebagai persediaan untuk menyerang Iran.
Pada Jun tahun lalu, Washington mengerahkan aset pertahanan udara termasuk sistem misil Patriot sebagai persediaan untuk menghadapi serangan balas Teheran setelah ia mengebom tiga kemudahan nuklear utama di negara tersebut.
Pusat Perintah AS (CENTCOM) pada Isnin mengumumkan pengerahan armada tersebut kononnya untuk menggalakkan kestabilan dan keselamatan serantau.
"Pasukan serangan kapal induk itu berada di Lautan Hindi dan bukannya di Laut Arab yang bersempadan dengan Iran. Ia disusuli dengan pengerahan ribuan lagi anggota tambahan ke Asia Barat," ujarnya lagi menerusi catatan di media sosial.
Difahamkan, rantau tersebut bebas 'kawalan' kapal perang AS sejak USS Gerald R Ford dikerah berlayar ke Caribbean pada Oktober 2025 sebagai sebahagian daripada kempen tekanan ke atas bekas Presiden Venezuela digulingkan, Nicolas Maduro.
Pada minggu lalu, Trump seakan-akan memalu gendang perang apabila mengumumkan tentang pengerahan armada tersebut kononnya sebagai 'langkah berjaga-jaga' sehingga mengundang respons tegas Iran.
Penganalisis yang menjejaki data penerbangan turut memerhatikan puluhan pesawat kargo tentera AS sedang menuju ke rantau tersebut.
Susulan ancaman yang kian meningkat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menegaskan ia tidak membenarkan negara itu menjadi 'tapak pelancaran serangan' ke atas Teheran.
"Kami juga enggan menyediakan sokongan logistik. Sesi dialog, pematuhan undang-undang antarabangsa dan menghormati kedaulatan negara lain merupakan cara terbaik untuk menangani krisis semasa," menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

