Iran fail saman terhadap AS, Israel atas dakwaan sokong keganasan

Ketua Kehakiman Iran, Gholamhossein Mohseni-Eje’i (tiga dari kanan) bercakap dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 25 Januari 2026 - Foto: Agensi
Ketua Kehakiman Iran, Gholamhossein Mohseni-Eje’i (tiga dari kanan) bercakap dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 25 Januari 2026 - Foto: Agensi
A
A
A

TEHERAN – Iran memaklumkan telah memfailkan aduan undang-undang dan jenayah di beberapa forum antarabangsa terhadap Amerika Syarikat, Israel serta beberapa kumpulan militan atas dakwaan menyokong dan membiayai aktiviti subversif yang menjejaskan keselamatan negara itu.

Ketua Badan Kehakiman Iran, Gholamhossein Mohseni-Eje’i berkata pada Ahad, pihak-pihak terbabit didakwa terlibat secara langsung dalam menyokong tindakan sabotaj dan usaha menggugat kestabilan dalaman Iran.

Aduan tersebut susulan gelombang rusuhan yang tercetus pada 8 Januari lalu, bermula daripada protes aman peniaga di bazar dan pasar yang membantah kejatuhan nilai mata wang rial, sebelum berkembang menjadi keganasan terancang selama beberapa hari.

Menurut pihak berkuasa Iran, keganasan itu telah menyebabkan kemusnahan meluas terhadap harta awam dan persendirian termasuk kedai, institusi kerajaan serta kemudahan awam, selain mengorbankan ribuan orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, serta anggota keselamatan.

Teheran mendakwa rusuhan tersebut digalakkan secara terbuka oleh Israel dan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump, serta disokong oleh agensi perisikan asing melalui pembiayaan, latihan dan sokongan media.

Mohseni-Eje’i turut menegaskan bahawa Amerika Syarikat dan Israel adalah dalang utama di sebalik keganasan berkenaan, sambil menyifatkan peranan mereka sebagai terang-terangan dan langsung, bukan sekadar sokongan tidak langsung.

Beliau menyamakan perkembangan terkini itu sebagai satu lagi fasa konflik susulan perang 12 hari sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, ketua kehakiman itu berkata kegagalan pihak musuh mencapai matlamat mereka dalam rusuhan tersebut telah mendorong penggunaan perang psikologi dan penyebaran khabar angin terhadap Republik Islam Iran.

Beliau menegaskan tiada sebarang kelonggaran akan diberikan kepada individu yang terlibat dalam pembunuhan orang awam atau anggota keselamatan.

Artikel Berkaitan:

“Semua pihak yang terlibat dalam rusuhan sama ada sebagai perancang, penghasut, provokator atau pelaku langsung bukan sahaja akan berdepan hukuman undang-undang, malah diwajibkan membayar pampasan atas kerosakan harta awam dan persendirian,” katanya. – Agensi

Ringkasan AI

  • Iran memfailkan aduan undang-undang terhadap Amerika Syarikat, Israel dan kumpulan militan atas dakwaan menyokong aktiviti subversif
  • Gholamhossein Mohseni-Eje'i mendakwa negara dan kumpulan terlibat secara langsung dalam usaha sabotaj dan menggugat kestabilan Iran
  • Rusuhan bermula dari protes aman yang berkembang menjadi keganasan, merosakkan harta benda dan mengorbankan nyawa
  • Teheran menganggap Israel dan Presiden AS Donald Trump serta agensi perisikan asing sebagai penyokong utama rusuhan
  • Ketua Kehakiman Iran menegaskan tiada kelonggaran kepada yang terlibat dalam rusuhan, termasuk hukuman dan pampasan atas kerosakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!