Iran beri amaran keras ketika armada AS menghampiri rantau Teluk

TEHERAN - Iran memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu akan berdepan akibat serius sekiranya mereka melancarkan sebarang serangan ketenteraan, ketika ketegangan terus memuncak susulan laporan pergerakan sebuah armada tentera AS ke arah rantau Teluk.
Pada Isnin, tokoh-tokoh tertinggi ketenteraan Iran mengulangi kesiapsiagaan negara itu untuk berperang sekiranya diserang, termasuk kemungkinan konflik dengan Israel dan AS, seumpama perang selama 12 hari yang tercetus tahun lalu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, turut memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan akan mencetuskan ketidakstabilan serantau yang 'tidak akan mengecualikan sesiapa'.
Kenyataan itu dibuat ketika Presiden AS, Donald Trump, mengesahkan pada Khamis bahawa sebuah armada AS sedang menuju ke rantau Teluk.
Dalam perkembangan berkaitan, sekutu Iran dalam apa yang dikenali sebagai 'paksi penentangan' memberi bayangan mereka mungkin bertindak kali ini sekiranya konflik tercetus, selepas tidak mengambil tindakan ketenteraan semasa perang pada Jun lalu.
Ketua Kataib Hizbullah di Iraq, Abu Hussein al-Hamidawi, memberi amaran mengenai 'perang total' jika berlaku pencerobohan AS, manakala kepimpinan Hizbullah di Lubnan terus menyatakan sokongan terbuka terhadap Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.-Agensi
Ringkasan AI
- Iran memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat akan akibat serius jika melancarkan serangan ketenteraan
- Tokoh-tokoh ketenteraan Iran mengulangi kesiapsiagaan untuk berperang termasuk dengan Israel dan AS
- Jurucakap Kementerian Luar Iran memberi amaran tindakan ketenteraan akan mencetuskan ketidakstabilan serantau
- Presiden AS, Donald Trump, mengesahkan armada AS sedang menuju ke rantau Teluk
- Sekutu Iran dalam 'paksi penentangan' mungkin bertindak jika konflik tercetus, memberi bayangan tentang 'perang total'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

