Kebakaran tanah gambut merebak 12 hektar, asap tebal selubungi kawasan perumahan

Anggota bomba memadam kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Kota Tinggi dan keadaan asap tebal yang memasuki kawasan perumahan.
Anggota bomba memadam kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Kota Tinggi dan keadaan asap tebal yang memasuki kawasan perumahan.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kebakaran tanah gambut yang berlaku di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai terus merebak apabila keluasan kebakaran meningkat daripada kira-kira 5.3 hektar kepada 12.1 hektar pada Isnin.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Muhamad Sabri Ramli berkata, keadaan cuaca kering dan berangin menjadi faktor utama api merebak sekali gus menyebabkan asap tebal dibawa masuk ke kawasan perumahan penduduk.

“Seramai 12 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran tersebut.

“Setakat ini, seluas kira-kira dua hektar atau 20 peratus kawasan kebakaran berjaya dipadamkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kerja pemadaman di Sektor B dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 500 kaki, satu breaching serta dua pancutan nozel pam jentera dengan sumber air daripada pili bomba.

“Tiupan angin dari arah utara yang berterusan telah menyebabkan berlakunya nyalaan baharu di beberapa kawasan,” katanya.

Tambahnya, usaha pemadaman di Sektor A tidak dapat dijalankan berikutan sumber air yang jauh serta keadaan parit yang cetek, selain keanggotaan tertumpu di Sektor B susulan angin kencang dan api merebak ke kawasan berkenaan.

Jelas beliau, bagi membantu operasi, Unit Dron dari Zon 2 turut digerakkan bagi membuat penilaian tahap kemerebakan kebakaran, mengenal pasti sumber air serta laluan masuk untuk tindakan pemadaman seterusnya.

“Keadaan semasa menyaksikan asap tebal masih memasuki kawasan perumahan dan penduduk dinasihatkan supaya berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai merebak dari 5.3 hektar kepada 12.1 hektar
  • Cuaca kering dan berangin menyebabkan api merebak dan asap tebal memasuki kawasan perumahan
  • Seramai 12 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terlibat dalam operasi pemadaman
  • Dua hektar atau 20 peratus dari kawasan kebakaran telah berjaya dipadamkan
  • Unit Dron dari Zon 2 digerakkan untuk membuat penilaian tahap kemerebakan kebakaran dan mengenal pasti sumber air

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!