Selangor pecah rekod, hasil negeri cecah RM3.021 bilion

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM3.021 bilion pada tahun lalu, sekali gus menjadi rekod tertinggi dalam sejarah hasil negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian luar biasa itu membuktikan keupayaan pentadbiran negeri mengurus kewangan secara berdisiplin, konsisten serta berinovasi dalam menjana sumber hasil baharu.
"Kita bersyukur kepada ALLAH SWT kerana pada tahun 2025, Selangor berjaya mencatatkan hasil tertinggi dalam sejarah negeri.
"Ini bukan pencapaian secara spontan, tetapi hasil kerja keras dan konsistensi yang dibina sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika berucap pada Amanat Tahun Baharu 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7 Shah Alam di sini, Isnin.
Menurut Amirudin, trend peningkatan hasil negeri bermula sejak 2021 apabila Selangor buat pertama kali mencatatkan kutipan melebihi sasaran ditetapkan.
"Pada 2021, kita menyasarkan hasil sekitar RM1.8 bilion, namun berjaya mengutip RM2.28 bilion dan tahun 2022 pula, sasaran RM2.05 bilion berjaya dilepasi dengan lebihan lebih RM500 juta,” katanya.
Beliau berkata, momentum itu diteruskan pada 2024 apabila negeri menyasarkan RM2.2 bilion, tetapi mencatatkan kutipan RM2.867 bilion, sebelum melonjak kepada RM3.021 bilion pada tahun lalu walaupun sasaran awal hanya RM2.3 bilion.
Amirudin menegaskan, kejayaan berterusan itu dicapai hasil komitmen tinggi penjawat awam negeri, kreativiti pentadbiran serta usaha mempelbagaikan sumber pendapatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada hasil tanah.
"Realitinya, hasil tanah semakin berkurangan apabila kawasan dibangunkan, namun pentadbiran ini tidak hanya bergantung kepada sumber tradisional, sebaliknya meneroka kaedah dan sektor baharu bagi memastikan kelangsungan hasil negeri," tambah beliau.
Beliau memberitahu, pendekatan tadbir urus berprinsip serta reformasi pentadbiran yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu turut menyumbang kepada kestabilan kewangan dan keyakinan pelabur terhadap Selangor.
Amirudin berkata, pada tahun lalu juga, Selangor berjaya mencipta satu lagi rekod baharu, dengan jumlah rizab negeri meningkat sebanyak RM604.09 juta dari tahun 2024 kepada RM4.736 bilion pada akhir tahun 2025.
"Apabila saya diberikan amanah untuk mentadbir negeri ini bersama pasukan yang baharu pada tahun 2018, sebelum itu, kedudukan rizab menjunam ke RM2.135 bilion. Setelah lapan tahun, kita telah berjaya menjaga dan meningkatkan khazanah negeri lebih dua kali ganda, iaitu sebanyak RM2.6 bilion.
"Ini tidaklah bermaksud kita hanya mengumpul dan tidak berbelanja, sebaliknya setiap perbelanjaan wang negeri dikhususkan mengikut keperluan secara strategik dan melalui proses perancangan yang rapi," jelas beliau.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM3.021 bilion pada tahun lalu, rekod tertinggi dalam sejarah negeri
- Pencapaian itu menunjukkan keupayaan pentadbiran negeri mengurus kewangan secara berdisiplin dan berinovasi
- Trend peningkatan hasil negeri bermula sejak 2021, dengan kutipan hasil melebihi sasaran yang ditetapkan setiap tahun
- Kejayaan ini dicapai melalui komitmen tinggi penjawat awam negeri dan usaha mempelbagaikan sumber pendapatan
- Selangor juga mencatatkan peningkatan dalam jumlah rizab negeri sebanyak RM604.09 juta dari tahun 2024 ke RM4.736 bilion pada akhir tahun 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

