Abdul Latif sambar pingat emas, pecah rekod dunia sendiri

JAGUH olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly terus membuktikan keunggulannya apabila merangkul pingat emas acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di New Delhi pada Ahad.
Lebih manis, atlet kelahiran Perlis itu melakar sejarah baharu apabila melakukan lompatan sejauh 7.67 meter (m) untuk memecahkan rekod dunia miliknya sendiri yang sebelum ini dicatat pada jarak 7.64m di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta.
Abdul Latif turut memadam rekod kejohanan yang dipegang atlet Belanda, Ranki Oberoi (7.39m, Dubai 2019) seawal lompatan pertamanya dengan catatan 7.61m sebelum melonjak lebih jauh pada percubaan ketiga.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi hari ini kerana berjaya memecahkan dua rekod, iaitu rekod kejohanan dan rekod dunia di New Delhi.
“Saya mendedikasikan kejayaan ini kepada isteri dan anak saya. Mengimbangi latihan dengan masa untuk keluarga dan bayi yang bakal lahir tidak lama lagi bukan mudah, namun disiplin menjadi kunci,” katanya selepas pertandingan.
Pingat perak acara itu dimenangi Hassan Dawshi dari Arab Saudi dengan lompatan sejauh 7.36m, manakala Matvei Iakushev dari Rusia meraih gangsa dengan catatan 7.22m.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan pencapaian Abdul Latif sebagai bukti kegigihan dan disiplin luar biasa atlet para negara.
“Sejarah dicipta di Kejohanan Para Dunia di New Delhi apabila Datuk Abdul Latif Romly mengekalkan status legenda dengan lompatan 7.67m, sekali gus memecahkan rekod dunia miliknya sendiri yang dicipta di Sukan Para Asia 2018. Beliau adalah inspirasi sebenar disiplin, fokus dan kegigihan,” katanya.
Ringkasan AI
- Jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly merangkul pingat emas acara lompat jauh T20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di New Delhi
- Melakar sejarah dengan lompatan 7.67 meter memecahkan rekod dunia miliknya sendiri sebelum ini di Sukan Para Asia 2018
- Memadam rekod kejohanan yang dipegang atlet Belanda dengan lompatan pertama 7.61m
- Dedikasi kejayaan kepada keluarga sambil mengimbangi latihan dan masa untuk keluarga
- Pingat perak dan gangsa dimenangi oleh atlet dari Arab Saudi dan Rusia masing-masing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
