Akta Pekerja Gig dikuatkuasakan selewat-lewatnya penghujung Mac

PETALING JAYA - Akta Pekerja Gig dijangka dikuatkuasakan selewat-lewatnya menjelang akhir Mac 2026 dengan mekanisme sokongan termasuk majlis perundingan khas yang akan diumumkan kelak.
Mengesahkan perkara tersebut, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, butiran lanjut berhubung majlis perundingan, tribunal dan semua yang berkaitan akan diumumkan kemudian.
"Akta berkenaan memberi perlindungan utama kepada golongan pekerja gig termasuk jaminan tempoh pembayaran serta perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlaku kemalangan.
"Pembayaran mesti dibuat dalam tempoh tujuh hari dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga memberi jaminan bahawa sebaik sahaja mereka menjadi pencarum, sekiranya berlaku apa-apa, mereka akan dilindungi dan ahli keluarga mereka juga tidak akan terjejas sekiranya mereka tidak dapat bekerja,” katanya pada majlis pelancaran Kampus Rakan Grab (KRG) pada Isnin.
Dalam pada itu, menjawab sama ada kerajaan bercadang menetapkan satu harga lantai tetap bagi penunggang, Ramanan berkata, tidak praktikal untuk mengenakan kadar seragam ke atas semua platform berikutan struktur perniagaan dan tahap keuntungan yang berbeza.
“Ada platform yang mencatat keuntungan dan ada yang sebaliknya, jika kita memaksa semuanya menggunakan satu kadar tetap, apa akan berlaku kepada platform yang tidak mencatat keuntungan?
“Bagi kami, semua pihak perlu dilindungi. Ramai beranggapan bahawa jika kita menjaga pekerja, semuanya akan baik-baik sahaja, dan itu merupakan pendekatan yang popular.
“Seperti yang telah saya maklumkan kepada pegawai kanan kementerian, kita perlu ada keseimbangan. Jika kita terus memberi tekanan kepada majikan, apa akan berlaku apabila mereka tidak lagi mampu menanggung kos pengurusan dan perniagaan?," katanya.
Bagaimanapun, kerajaan tetap menggunakan dasar gaji minimum sebagai penanda aras perlindungan pendapatan.
“Pendapatan minimum telah diselaraskan pada RM1,700 tetapi pengendalian kadar bayaran penghantar berada di bawah platform masing-masing selagi mematuhi akta dan undang-undang sedia ada,” katanya.
Tambahnya, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan juga akan tetap diteruskan walaupun selepas Akta tersebut berkuat kuasa.
“Walaupun selepas 30 Mac, libat urus akan diteruskan kerana terdapat perkara tertentu yang hanya dapat dilihat selepas Akta berkuat kuasa.
“Kami akan melaksanakannya secara berterusan, kita perlu melihat apa yang berlaku dan mengumpul maklum balas selepas pelaksanaan,” katanya.
Pada masa sama, Ramanan turut memuji dan mengalu-alukan keputusan Grab meningkatkan sumbangannya terhadap keselamatan sosial pekerja gig.
“Sebelum ini, sumbangan sebanyak 30 peratus ditanggung oleh Grab, namun ia hanya terpakai kepada pekerja tetap. Secara keseluruhan, Grab menanggung 10 peratus.
“Selepas perbincangan dengan pengurusan tertinggi Grab, Grab bersetuju untuk menyumbang 15 peratus bagi semua penunggang e-hailing untuk caruman PERKESO mereka.
“Semua pekerja akan menerima perlindungan caruman sebanyak 15 peratus yang ditanggung oleh Grab,” katanya.
Beliau berterima kasih atas inisiatif ini kerana ia melibatkan peruntukan besar dan terbukti Grab telah memainkan peranan terbaik mereka bagi menyokong kebajikan pekerja.
Grab juga bakal menyediakan peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada 5,000 pekerja tahun ini.
Dalam pada itu, pelancaran KRG oleh Grab Malaysia menandakan peralihan daripada tumpuan khusus dalam menyediakan peluang pendapatan semata-mata kepada komitmen jangka panjang dalam menyokong pertumbuhan holistik rakan Grab.
Pusat Pemandu Grab terpilih, bermula di Petaling Jaya, telah dinaik taraf dan ditukar fungsinya menjadi hab pemerkasaan ekonomi khusus, sebuah ruang bersama yang membolehkan rakan-pemandu, rakan-penghantar dan rakan-peniaga melengkapkan diri dengan kemahiran serta keyakinan digital untuk terus maju dalam ekonomi yang sentiasa berubah.
Menurut Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo, rakan-rakan Grab sentiasa menjadi tulang belakang perjalanan syarikat.
“Seiring dengan transformasi ekonomi, peranan kami juga perlu berubah daripada sekadar menjadi sebuah platform menjana pendapatan kepada rakan yang komited dalam menyokong pertumbuhan jangka panjang mereka.
"Kampus Rakan Grab merupakan cara kami mendengar dan bertindak berdasarkan aspirasi rakan-rakan kami.
“Kami berbesar hati memainkan peranan dalam pertumbuhan mereka, dan kami memandang hab ini sebagai ruang untuk menambah kemahiran,mengukuhkan jaringan, serta membina ketahanan yang diperlukan untuk berjaya, baik di dalam mahupun di luar ekosistem Grab,” katanya.
Inisiatif Kampus Rakan Grab ini merupakan evolusi daripada program GrabBenefits yang menyaksikan peningkatan pelaburan sebanyak RM10 juta pada tahun 2025.
Ia turut melengkapi pelaburan RM5 juta yang dibuat sempena pelancaran dana Sejahtera MADANI oleh kerajaan pada tahun lalu, selaras dengan komitmen Grab untuk memudah cara pemerkasaan ekonomi rakannya melalui peningkatan kemahiran bagi mewujudkan peluang pendapatan baharu serta memperkukuh potensi pembangunan kerjaya.
Dengan memberi tumpuan kepada lima teras utama, iaitu perlindungan, simpanan, akademi, penyelesaian kewangan dan komuniti, Grab Malaysia terus memacu pertumbuhan inklusif untuk setiap rakyat Malaysia yang menjana pendapatan melalui ekonomi digital, sejajar dengan usaha negara ke arah pemerkasaan sosioekonomi yang mampan serta pembasmian kemiskinan.
Ringkasan AI
- Akta Pekerja Gig 2025 akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya penghujung Mac ini
- Menteri Sumber Manusia mengatakan struktur keanggotaan majlis perundingan pekerja gig akan diumumkan kemudian dengan keutamaan kepada platform besar seperti Grab
- Akta ini bertujuan memperjuangkan perlindungan sosial, hak kebajikan dan maruah pekerja gig
- Grab berkomitmen memperluas caruman PERKESO kepada 15 peratus daripada pekerja gig berdaftar
- Kadar gaji minimum nasional bagi pekerja gig kekal RM1,700, namun pengendalian gaji penghantar tertakluk kepada platform masing-masing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

