England, Scotland didesak pertimbang boikot Piala Dunia angkara Trump

Piala Dunia 2026 bakal dianjurkan secara bersama oleh AS, Kanada dan Mexico.
Piala Dunia 2026 bakal dianjurkan secara bersama oleh AS, Kanada dan Mexico.
A
A
A

ENGLAND dan Scotland didesak supaya mempertimbangkan secara serius untuk memboikot Piala Dunia musim panas ini susulan tindakan kontroversi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Gesaan tersebut disuarakan oleh pegawai tinggi bola sepak Jerman menjelang kejohanan berprestij itu yang bakal dianjurkan secara bersama oleh AS, Kanada dan Mexico.

Trump sebelum ini mencetuskan kemarahan di seluruh Eropah menerusi cubaan mengambil alih Greenland, wilayah di bawah naungan Denmark.

Malah, beliau turut mengugut untuk mengenakan tarif perdagangan terhadap lapan negara Eropah yang menentang tindakan pengambilalihan tersebut.

Presiden kelab Bundesliga St Pauli, Oke Gottlich yang juga salah seorang daripada 10 Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB), menegaskan bahawa perbincangan mengenai pemboikotan kejohanan itu perlu diadakan oleh negara-negara peserta.

“Sudah tiba masanya. Apakah justifikasi untuk memboikot Sukan Olimpik pada tahun 1980-an?

“Pada perkiraan saya, ancaman dan potensi bahaya sekarang adalah lebih besar berbanding ketika itu. Kita perlu mengadakan perbincangan ini,” kata Gottlich.

Persekutuan Jerman sebelum ini pernah lantang bersuara menentang penganjuran Piala Dunia 2022 di Qatar, ketika pasukan mereka tersingkir di peringkat kumpulan.

Gottlich turut mempersoalkan sikap dwistandard dalam dunia bola sepak.

Artikel Berkaitan:

“Qatar dianggap terlalu politikal untuk semua pihak, namun adakah sekarang kita sepenuhnya bersifat ‘apolitical’ (tidak berpolitik)? Itu sesuatu yang sangat mengganggu saya,” tambahnya.

Beliau juga mempersoalkan had toleransi badan induk bola sepak dunia apabila berdepan dengan pemimpin yang dilihat mengancam keselamatan.

“Saya ingin tahu daripada Donald Trump, bila beliau akan melampaui batas. Dan saya juga ingin jawapan daripada Bernd Neuendorf (Presiden DFB) dan Gianni Infantino (Presiden FIFA),” ujarnya.

Selain isu geopolitik Greenland, keghairahan peminat bola sepak turut terbantut akibat harga tiket yang melambung tinggi serta larangan perjalanan yang dikenakan Trump, yang menghalang penyokong dari beberapa negara tertentu daripada memasuki AS.

Kenyataan Gottlich hadir selepas Menteri Sukan Perancis, Marina Ferrari, enggan menolak kemungkinan untuk memboikot kejohanan itu pada masa hadapan sekiranya ketegangan berterusan.

“Pada masa ini, tiada hasrat daripada kementerian untuk memboikot pertandingan besar yang dinanti-nantikan ini. Namun begitu, saya tidak boleh menjangka apa yang mungkin berlaku kelak,” ujar Marina.

Untuk rekod, England dan Scotland telah mengesahkan tempat ke kejohanan tersebut dan berpotensi disertai oleh Republik Ireland, serta sama ada Wales atau Ireland Utara.

Ringkasan AI

  • England dan Scotland didesak untuk mempertimbangkan memboikot Piala Dunia kerana tindakan kontroversi Presiden AS, Donald Trump
  • Pegawai tinggi bola sepak Jerman mendesak perbincangan pemboikotan akibat tindakan Trump mengenai Greenland dan ancaman tarif perdagangan terhadap negara Eropah
  • Oke Gottlich, Presiden kelab Bundesliga St Pauli, menyeru perbincangan antarabangsa tentang pemboikotan Piala Dunia
  • Terdapat kekecewaan mengenai sikap dwistandard dalam dunia bola sepak terhadap isu politik dan keselamatan
  • Isu harga tiket yang tinggi dan larangan perjalanan yang dikenakan oleh Trump juga menimbulkan kebimbangan terhadap penyokong bola sepak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!