Amad sindir Arsenal hanya harapkan sepakan sudut

AKSI dramatik di Stadium Emirates berakhir dengan kemenangan manis buat Manchester United, namun tumpuan selepas perlawanan turut terarah kepada gelagat Amad Diallo yang mencuri perhatian di media sosial.
Pemain sayap muda itu tidak melepaskan peluang mengusik penyokong Arsenal selepas United bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan tuan rumah 3-2, sekali gus mencatat kemenangan kedua berturut-turut di bawah kendalian Michael Carrick.
Kekalahan itu menjadi tamparan buat Arsenal yang kini berdepan tempoh sukar apabila gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus memberi kesan kepada kempen kejuaraan mereka.
Amad yang beraksi hampir 90 minit sebelum dibawa keluar pada minit ke-88, dilihat meluangkan masa berbalas komen dengan penyokong di platform X sejurus tamat perlawanan.
Sindiran itu bermula apabila seorang penyokong Arsenal meramalkan kemenangan besar 4-0 buat pasukan kesayangannya, sebelum Amad membalas ringkas dengan nada sinis, “Enjoy, kid.”
Teguran balas daripada penyokong berkenaan tidak menghalang Amad untuk meneruskan usikan apabila dia menambah: “Harapan kamu cuma sepakan sudut. "Be humble, kid," yang jelas mengundang reaksi pelbagai pihak.
Ungkapan “be humble” itu mengimbau kembali episod membabitkan penyerang Manchester City, Erling Haaland yang pernah mencetuskan kontroversi dengan kenyataannya terhadap pertahanan Arsenal, Gabriel Maghalhaes pada musim lalu.
Isu berkenaan sebelum ini dibalas penyokong dan pemain Arsenal dalam perlawanan timbal balik yang dimenangi pasukan London Utara itu dengan jaringan besar, sebelum pengendali mereka, Mikel Arteta mengingatkan pemain agar tidak melayan provokasi dan kekal fokus kepada permainan.
Kali ini, peranan ‘penyindir’ beralih tangan, dengan Amad menjadi watak utama selepas United meninggalkan Emirates dengan tiga mata berharga.
Ringkasan AI
- AKSI dramatik di Stadium Emirates berakhir dengan kemenangan manis buat Manchester United
- Amad Diallo mencuri perhatian di media sosial dengan mengusik penyokong Arsenal
- Arsenal gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris berturut-turut
- Amad berkomentar sinis di platform X kepada penyokong Arsenal sejurus tamat perlawanan
- Penggunaan ungkapan "be humble" oleh Amad mengimbau kembali episod kontroversi dengan Erling Haaland dan Arsenal sebelumnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

