Bekas PM Korea Selatan kritikal di Vietnam, jalani prosedur jantung selepas rebah

SEOUL - Bekas Perdana Menteri Korea Selatan, Lee Hae-chan, yang sedang melawat Vietnam, dikejarkan ke hospital tempatan pada Jumaat akibat serangan jantung dan kini berada dalam keadaan kritikal, menurut pegawai, lapor Agensi Berita Yonhap.
Lee, yang kini memegang jawatan Naib Pengerusi Kanan Majlis Penasihat Penyatuan Keamanan (PUAC), rebah kira-kira1 tengah hari (waktu tempatan) selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat di Bandar Raya Ho Chi Minh ketika mahu pulang ke Korea Selatan, menurut pegawai PUAC.
Bekas Perdana Menteri itu tiba di Vietnam pada Khamis bagi menghadiri mesyuarat cawangan PUAC Vietnam.
Menurut pegawai, Lee mengadu mengalami simptom seperti selesema sebelum berlepas ke Vietnam sehari sebelumnya dan sedang bersiap untuk pulang ke tanah air selepas keadaannya bertambah teruk.
Beliau mengalami kesukaran bernafas dan dibawa ke hospital tempatan dengan ambulans sambil menerima resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Lee menjalani prosedur pemasangan stent dan kini bernafas dengan bantuan alat pernafasan mekanikal. Beliau dijangka kekal dirawat di hospital sehingga keadaannya stabil.
Pegawai berkata, Lee mengalami henti jantung sebanyak dua kali semasa proses pemindahan dan rawatan.
Cheong Wa Dae (Pejabat Presiden Korea Selatan) dilaporkan merancang untuk menghantar seorang setiausaha kanan ke Vietnam awal Sabtu bagi membantu urusan Lee sepanjang tempoh beliau dimasukkan ke hospital. - Bernama-Yonhap
Ringkasan AI
- Bekas Perdana Menteri Korea Selatan Lee Hae-chan dikejarkan ke hospital di Vietnam kerana serangan jantung
- Lee dalam keadaan kritikal dan mendapat rawatan di hospital tempatan
- Beliau rebah ketika ingin pulang ke Korea Selatan dari Bandar Raya Ho Chi Minh
- Lee mengalami simptom seperti selesema sebelum ke Vietnam dan keadaannya bertambah teruk
- Beliau menjalani pemasangan stent dan kini menggunakan alat pernafasan mekanikal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
