Ribut musim sejuk besar ancam lebih 120 juta penduduk AS

Papan tanda amaran dipasang susulan risiko ais jatuh selepas ribut salji melanda Manhattan, New York. - AFP
Papan tanda amaran dipasang susulan risiko ais jatuh selepas ribut salji melanda Manhattan, New York. - AFP
A
A
A

WASHINGTON - Jutaan rakyat Amerika Syarikat (AS) kini bersiap sedia menghadapi kemungkinan salah satu ribut musim sejuk terbesar yang melanda negara itu dalam tempoh beberapa tahun, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat dan laporan media pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Lebih 120 juta penduduk AS atau lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan populasi bakal berpotensi terjejas pada hujung minggu ini, menurut ABC News.

Ribut berkenaan dijangka merentasi lebih 3,000 kilometer kawasan di seluruh negara, lapor The Washington Post.

Hujan ribut dan salji diramalkan melanda negeri-negeri selatan, sebahagian kawasan Midwest serta Pantai Timur, dengan kemuncak dijangka berlaku pada Ahad, termasuk kawasan metropolitan New York dan ibu negara, Washington.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran mengenai jalan raya berais serta keadaan perjalanan yang berbahaya.

Gabungan salji dan angin kencang berpotensi mengurangkan jarak penglihatan secara ketara, selain menyebabkan pokok tumbang serta gangguan bekalan elektrik.

Peramal cuaca kebangsaan turut memberi amaran mengenai risiko hipotermia dan radang dingin, serta menasihatkan penduduk agar melindungi haiwan peliharaan daripada cuaca sejuk. Angin kencang juga dijangka menyebabkan suhu dirasai menjadi lebih rendah.

Di negeri selatan Texas, pengurusan kecemasan negeri telah diaktifkan bagi membantu tindak balas terhadap sebarang insiden, menurut Gabenor Greg Abbott. Langkah itu termasuk pemantauan bekalan elektrik dan bantuan pembersihan jalan raya sekiranya berlaku kecemasan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Jutaan rakyat Amerika Syarikat bersiap sedia menghadapi kemungkinan salah satu ribut musim sejuk terbesar dalam beberapa tahun
  • Lebih 120 juta penduduk AS atau lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan populasi bakal terjejas
  • Ribut diramalkan merentasi lebih 3,000 kilometer kawasan di seluruh negara
  • Hujan ribut dan salji dijangka melanda negeri-negeri selatan, Midwest serta Pantai Timur dengan kemuncak pada Ahad
  • Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran tentang bahaya Jalan raya berais dan kondisi perjalanan yang berbahaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!