Kereta kebal Israel bedil tentera Lubnan semasa misi bersama pasukan pengaman PBB

Dari semasa ke semasa, pasukan pengaman PBB melaporkan yang kedudukan mereka di selatan Lubnan menjadi sasaran tembakan Israel. Gambar hiasan
Dari semasa ke semasa, pasukan pengaman PBB melaporkan yang kedudukan mereka di selatan Lubnan menjadi sasaran tembakan Israel. Gambar hiasan
A
A
A

ISTANBUL - Sebuah kereta kebal Israel membedil unit tentera Lubnan pada Jumaat ketika ia sedang menjalankan misi lapangan bersama pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhampiran Wadi al-Asafir, di selatan bandar Khiam, daerah Marjayoun di selatan Lubnan, lapor Anadolu Ajansi dengan memetik agensi berita rasmi Lubnan.

Menurut Agensi Berita Kebangsaan (NNA), tembakan itu berpunca daripada sebuah kereta kebal Israel yang muncul dari kedudukan ketenteraan yang baru diwujudkan di kawasan Hammams dan menyasarkan kawasan sekitar unit tentera Lubnan yang ketika itu beroperasi bersama anggota Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

Laporan itu tidak menyatakan sebarang kecederaan atau kerosakan akibat insiden berkenaan.

Tentera Israel juga tidak membuat sebarang ulasan.

Dari semasa ke semasa, pasukan pengaman PBB melaporkan yang kedudukan mereka di selatan Lubnan menjadi sasaran tembakan Israel, sambil menggesa pematuhan terhadap gencatan senjata. Bagaimanapun, Israel sebahagian besarnya mengabaikan gesaan itu.

Gencatan senjata antara Israel dan Lubnan menamatkan lebih setahun serangan yang mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan 17,000 yang lain, dalam konteks serangan Israel ke atas Gaza.

Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, tentera Israel sepatutnya berundur dari selatan Lubnan pada Januari 2025, namun hanya berundur sebahagian dan masih mengekalkan kehadiran ketenteraan di lima pos sempadan. - Bernama-Anadolu

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Sebuah kereta kebal Israel membedil unit tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB berhampiran Wadi al-Asafir, selatan Lubnan
  • Tembakan dari kereta kebal Israel itu datang dari kedudukan ketenteraan yang baru diwujudkan di kawasan Hammams
  • Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan akibat insiden tersebut
  • Pasukan pengaman PBB sering menjadi sasaran tembakan Israel yang menggesa pematuhan terhadap gencatan senjata
  • Gencatan senjata antara Israel dan Lubnan ditujukan untuk mengakhiri konflik yang mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan 17,000 lainnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!