Kongsi rezeki, raih berkat melalui umrah
PSU Group teruskan program CSR taja 101 asnaf dari seluruh negara ke Tanah Suci

AMALAN berkongsi rezeki dan kejayaan dengan golongan yang memerlukan seperti asnaf bukan sahaja mencerminkan keprihatinan sosial, malah ia menjadi jalan meraih keberkatan harta selain mengukuhkan hubungan sesama manusia.
Begitulah inti pati yang disampaikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam program Majlis meraikan tetamu ALLAH menuju umrah Nur Al-Syifa’ 2.0 anjuran Prestasi Setia Unggul Group of Companies (PSU Group) di Shah Alam baru-baru ini.
Menurutnya, usaha PSU Group membawa jemaah menunaikan umrah menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) merupakan inisiatif bermakna kerana ia membuka peluang kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menjadi tetamu ALLAH SWT.
Beliau memuji komitmen berterusan PSU Group yang konsisten menganjurkan program berkenaan setiap tahun, dengan penglibatan antara 100 hingga 200 penerima setiap tahun sejak program itu dilaksanakan sejak tahun lalu.

Menurut Amirudin, usaha berkongsi kejayaan dengan masyarakat membuktikan bahawa nilai kemurahan hati bukan sekadar prinsip yang diungkapkan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan sumbangan yang memberikan manfaat kepada orang lain.
“Semakin banyak kita berkongsi, semakin banyak kita dapat menikmati keberkatan daripada harta, kejayaan dan kekayaan yang dikurniakan ALLAH SWT,” katanya dalam ucapan yang menyentuh kepentingan amalan kebajikan dan nilai kemasyarakatan dalam Islam.
Manifestasi iman dalam bermasyarakat
Beliau menjelaskan, Islam bukan sahaja menekankan pelaksanaan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji, bahkan turut menggariskan kepentingan sedekah, hadiah serta hibah sebagai manifestasi keimanan yang diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat.
Jelasnya, hubungan manusia dengan ALLAH SWT perlu bergerak seiring dengan hubungan sesama manusia, termasuk tanggungjawab membantu golongan miskin dan mereka yang memerlukan.
“Perkara ini kita dapat dilihat menerusi banyak ayat al-Quran yang menggandingkan perintah mendirikan solat dengan menunaikan zakat, sekali gus memperlihatkan bahawa ibadah tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab sosial.
“Pentingnya zakat ini boleh dilihat pada zaman Abu Bakar As-Siddiq RA apabila beliau memerangi golongan yang enggan menunaikan zakat selepas kewafatan Rasulullah SAW.
“Ini membuktikan betapa pentingnya kewajipan berzakat dalam memelihara kesejahteraan masyarakat,” jelasnya.
Ujarnya, pengurusan zakat yang baik membolehkan sumber ekonomi dimanfaatkan untuk membangunkan masyarakat, menyara keluarga serta membantu golongan yang berdepan kesusahan.
Umrah ruang muhasabah diri
Dalam pada itu, Amirudin menyifatkan peluang menunaikan umrah sebagai satu anugerah besar kerana jemaah berpeluang mengunjungi Makkah dan Madinah, dua kota suci yang menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia.

Katanya, bantuan menunaikan umrah mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada pemberian berbentuk material kerana ia membuka ruang kepada penerima untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, memperbaiki amalan dan melakukan muhasabah diri.
“Pengalaman berada di Tanah Suci, khususnya ketika melaksanakan tawaf, sai dan beriktikaf di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, memberikan kesempatan kepada jemaah untuk merenung kehidupan serta memperbaharui tekad menjadi insan yang lebih baik.
“Malah keunikan Makkah yang terletak di kawasan kering dan panas tetapi tetap menerima kedatangan jutaan umat Islam setiap tahun turut mengundang renungan tentang kebesaran dan kekuasaan ALLAH SWT,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap PSU Group terus dikurniakan kemakmuran agar usaha berkongsi rezeki dapat diperluas kepada lebih ramai penerima dan diteruskan dalam pelbagai bentuk kebajikan lain.
Tambahnya, keseimbangan antara hubungan dengan ALLAH SWT (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas) merupakan antara asas penting dalam membentuk kehidupan Muslim yang sejahtera.

“Agama kita bukan hanya berdiri atas amalan peribadi. Keimanan kepada ALLAH SWT perlu disertai nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan yang besar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan PSU Group, Mohammad Arrief Mu’min berkata, seramai 101 asnaf daripada golongan mualaf, fakir miskin dan fisabilillah dipilih khususnya mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan pada program kali ini melibatkan mereka yang berusia 31 hingga 79 tahun dari seluruh negara.
“Kesemua mereka perjalanan mereka ke Tanah Suci diuruskan PSU Group termasuk pengangkutan, penginapan dan kursus umrah menerusi agensi pelancongan yang dilantik serta kelengkapan umrah seperti kain ihram, telekung dan wang saku di sana,” jelasnya.
Pihaknya berharap dapat meneruskan lagi program CSR seumpamanya pada Januari dan Oktober tahun hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

