KKM kaji pindaan akta, wujudkan ekosistem kesihatan lebih adil

PENINGKATAN kos perubatan di Malaysia kini menjadi isu yang semakin serius, memberi impak bukan sahaja kepada rakyat biasa, tetapi juga kepada syarikat insurans dan keseluruhan sistem kesihatan negara.
Berdasarkan unjuran terkini, inflasi perubatan di Malaysia bagi tahun 2024 berada pada kadar 15 peratus, jauh melebihi purata global dan Asia Pasifik, iaitu 10 peratus.
Kadar ini menunjukkan bahawa kos rawatan, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta meningkat dengan ketara.
Ia sekali gus menimbulkan tekanan kewangan tambahan kepada individu dan keluarga yang bergantung kepada rawatan swasta, termasuk pemegang polisi insurans kesihatan dan takaful.
Pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan kos perubatan antaranya termasuk penggunaan teknologi perubatan yang semakin canggih, harga ubat-ubatan meningkat dan struktur caj hospital swasta yang kadangkala tidak seragam.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti beberapa pindaan terhadap Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi memperluas kawal selia berkaitan isu caj berlebihan di hospital swasta.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah itu penting memandangkan isu inflasi kos perubatan dan penggunaan perkhidmatan kesihatan turut melibatkan peranan Kementerian Kewangan melalui Bank Negara Malaysia serta sektor insurans.
"Memang kita sedang mengkaji beberapa pindaan bersesuaian untuk memperluas kawal selia di bawah Akta 586.
Selain fi konsultasi, kita ingin perluaskan beberapa caj lain supaya inflasi kesihatan dapat dikawal,” katanya.
Beliau berkata, KKM menerima 817 aduan tahun lepas serta mengenakan kompaun membabitkan 188 caj iaitu aduan caj konsultasi (70), caj prosedur (48), caj ubat (25) dan selebihnya berkaitan kes di bawah kerangka kawal selia kementerian.
Lukanisman berkata, orang awam yang dikenakan caj konsultasi berlebihan boleh menyalurkan aduan melalui laman sesawang KKM atau menghubungi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).
Selain manfaat kepada pengguna, kawalan yang lebih sistematik ke atas kos rawatan juga diharapkan dapat menstabilkan kos perubatan secara keseluruhan.
Hal ini memberi kesan langsung kepada industri insurans dan takaful, membolehkan mereka mengekalkan premium yang lebih terkawal dan berpatutan.
Langkah ini juga penting untuk memastikan sistem kesihatan negara kekal mampan dan berdaya saing, sambil menyediakan akses kepada rawatan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.
Secara keseluruhan, isu ini bukan sekadar tentang harga rawatan, tetapi juga berkaitan dengan keberkesanan dasar kesihatan, perlindungan pengguna dan kelestarian industri insurans.
Usaha KKM meneliti pindaan Akta 586 merupakan langkah penting ke arah mengawal kos rawatan swasta, meningkatkan ketelusan dan mewujudkan ekosistem kesihatan yang lebih adil serta tulus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

