Warga asing sewa kereta jadi 'ulat' di KLIA

Muhammad Kifli menemu bual pemandu kereta yang ditahan selepas menawarkan khidmat kereta sewa haram di KLIA pada Rabu.
Muhammad Kifli menemu bual pemandu kereta yang ditahan selepas menawarkan khidmat kereta sewa haram di KLIA pada Rabu.
A
A
A

SEPANG - Warga asing dikesan berani menawarkan khidmat kereta sewa haram atau 'ulat' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menggunakan kenderaan sewa.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, statistik tahun 2025 merekodkan 211 tangkapan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, penahanan di Terminal 1 ialah 113 orang, manakala Terminal 2 membabitkan tangkapan 78 orang.

"Daripada jumlah tangkapan berkenaan, tangkapan antaranya melibatkan warga tempatan, Bangladesh, India serta Timur Tengah.

"Berdasarkan pemantauan dan risikan, kebanyakan ditangkap bergerak sendirian dan ada juga berkumpulan. Kita siasat terperinci perkara ini," katanya dalam sidang akhbar di KLIA Terminal 1 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, apa yang dikesan, warga asing ini masuk ke dalam negara untuk bekerja dalam industri tertentu, namun terlibat sebaliknya.

Katanya, warga asing terbabit mengambil kesempatan apabila ada 'networking'.

"Ada antara mereka (ulat warga asing) yang telah tamat pas dan sebagainya. Jadi, kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia," ujarnya.

Mengulas lanjut, jelas beliau, kegiatan 'ulat' ini menawarkan perkhidmatan kereta sewa kepada orang awam dan pelancong dengan mengenakan caj penghantaran yang tinggi antara RM80 hingga RM150 ke Kuala Lumpur berbanding teksi biasa atau Limo di antara RM65 hingga RM80 sahaja.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, 'ulat' ini mendakwa aktiviti dilakukan mereka mampu membayar denda kesalahan sekiranya tertangkap.

"Ada yang mendakwa sehari mendapat pulangan RM500 hingga RM1,000. Jadi kalau katakan mereka buat aktiviti ini berterusan 20 hari dalam sebulan, mereka boleh 'cover' untuk denda mahkamah," katanya.

Tegasnya, JPJ memandang serius kegiatan yang bersifat pentingkan diri dan mengaut keuntungan secara haram ini.

“Aktiviti ini juga merupakan gejala negatif yang boleh merosakkan imej negara dan mendatangkan implikasi kepada ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan dan pengangkutan awam,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Warga asing menawarkan khidmat kereta sewa haram di KLIA
  • Statistik tahun 2025 merekodkan 211 tangkapan
  • Tangkapan melibatkan warga tempatan, Bangladesh, India, dan Timur Tengah
  • Kegiatan 'ulat' menawarkan perkhidmatan dengan caj tinggi RM80 hingga RM150 ke Kuala Lumpur
  • JPJ memandang serius aktiviti ini kerana ia merosakkan imej negara dan ekonomi sektor pelancongan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!