Rundingan Kod Tatakelakuan Laut China Selatan capai hampir 70 peratus - Tok Mat

Mohamad ketika menjawab soalan pembangkang dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis. FOTO: Jabatan Penerangan Malaysia
Mohamad ketika menjawab soalan pembangkang dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis. FOTO: Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR – Negara berjaya menyelesaikan hampir 70 peratus proses rundingan Kod Tatakelakuan (CoC) Laut China Selatan setakat ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemajuan itu dicapai hasil rundingan berterusan antara negara-negara terlibat yang mana proses perbincangan tersebut memerlukan pendekatan teliti dan berhati-hati.

“CoC ini ada macam-macam perkara dan berpuluh-puluh perenggan. Kita berjaya dah (selesaikan) hampir 70 peratus daripadanya.

“Ini kerana dalam perbincangan antara negara dan dokumen antarabangsa ini memerlukan perundingan yang halus,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan keperluan meletakkan garis merah di sempadan negara di Laut China Selatan dalam rundingan CoC susulan insiden pencerobohan di kawasan perairan tersebut.

Ujar Mohamad, keutamaan Malaysia dalam rundingan itu adalah memastikan kedaulatan negara terus terpelihara di samping melindungi kepentingan nasional.

Menurut beliau, usaha memuktamadkan CoC itu penting bagi memastikan Laut China Selatan kekal selamat dan bebas digunakan sebagai laluan perdagangan.

“Kita perlu pastikan supaya kedaulatan negara kita tidak terjejas. Jadi ini sedang dibuat.

“Insya-ALLAH, perkara-perkara utama semua sudah dapat diselesaikan. Tidak berapa banyak perenggan lagi (yang tinggal).

Artikel Berkaitan:

“Jadi kita akan muktamadkan CoC ini agar Laut China Selatan bebas digunakan oleh semua pihak sebagai laluan perdagangan dengan selamat,” ujarnya.

Mengulas kemungkinan melakukan latihan ketenteraan di Laut China Selatan Mohamad berkata, aktiviti tersebut telah pun dilakukan sejak dari dahulu lagi malah turut melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk negara luar.

“Kita latih tentera laut, darat dan udara. Kadang-kala ada juga tentera laut dan udara sama-sama membuat latihan.

“Aktiviti ini sentiasa ada di atas hubungan dua hala atau pelbagai hala. Itu tidak menjadi persoalan tetapi jika buat latihan untuk menunjukkan kita membuat provokasi kepada negara lain, itu bukan agenda kita.

“Tidak perlu berbuat begitu kerana Malaysia merupakan negara maritim dan kita memerlukan keadaan aman dalam kawasan perairan kita,” kata beliau.

Ringkasan AI

  • Negara berjaya menyelesaikan hampir 70 peratus proses rundingan Kod Tatakelakuan Laut China Selatan
  • Kemajuan tersebut dicapai melalui rundingan berterusan antara negara-negara yang memerlukan pendekatan teliti
  • Keutamaan Malaysia dalam rundingan tersebut adalah memastikan kedaulatan negara terpelihara dan melindungi kepentingan nasional
  • Usaha memuktamadkan Kod Tatakelakuan bertujuan menjadikan Laut China Selatan selamat dan bebas digunakan sebagai laluan perdagangan
  • Malaysia juga melakukan latihan ketenteraan di Laut China Selatan, melibatkan kerjasama dua hala atau pelbagai hala dengan negara lain, tanpa agenda provokasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!