Langkah dua dekad PAAB perkukuh infrastruktur air negara

Jaseni (kiri) bersama Zulkiflee menyempurnakan pelancaran logo Ulang Tahun Ke-20 PAAB di Kuala Lumpur pada Rabu.
Jaseni (kiri) bersama Zulkiflee menyempurnakan pelancaran logo Ulang Tahun Ke-20 PAAB di Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah melabur sebanyak RM22.436 bilion bagi pembangunan infrastruktur air negara sepanjang tempoh 20 tahun penubuhannya.

Pengerusi PAAB, Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata, pelaburan itu merangkumi perbelanjaan modal bagi projek yang telah siap, projek sedang dilaksanakan serta inisiatif masa hadapan yang kini berada di peringkat perancangan dan reka bentuk.

Menurut beliau, komitmen berkenaan mencerminkan peranan strategik PAAB dalam memperkukuh ekosistem infrastruktur air negara secara mampan.

“Pada masa hadapan, PAAB akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan margin simpanan air terawat, pengurangan kehilangan air tidak berhasil (NRW), pengukuhan daya tahan sistem serta sokongan kepada perkhidmatan air yang mampan di seluruh negara,” katanya pada Forum Media PAAB yang dianjurkan bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini, pada Rabu.

Pada forum itu, Jaseni bersama Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Zulkiflee Omar menyempurnakan pelancaran logo Ulang Tahun Ke-20 sempena memperingati dua dekad penubuhan syarikat tersebut, dengan sambutan rasmi dijadualkan pada 5 Mei ini.

Jaseni berucap pada Forum Media PAAB yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Kuala Lumpur pada Rabu.
Jaseni berucap pada Forum Media PAAB yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Kuala Lumpur pada Rabu.

Forum selama lebih dua jam itu dihadiri Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, serta kira-kira 60 pengamal media dan perhubungan awam.

Jaseni berkata, PAAB ditubuhkan pada 2006 di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air sebagai sebahagian daripada agenda reformasi industri air Kerajaan Persekutuan bagi menangani cabaran kronik sektor berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Antara cabaran tersebut termasuk kekurangan pelaburan, infrastruktur uzur, kekangan kewangan operator air serta tadbir urus yang terpisah antara negeri.

“Sehingga kini, sebanyak 10 operator air negeri telah menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air yang membolehkan pemindahan kuasa bekalan air daripada kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian itu turut memudah cara penyelesaian hutang tertunggak negeri berjumlah RM7.6 bilion pada 2005 serta menangani keperluan pembiayaan jangka panjang industri yang dianggarkan mencecah RM110 bilion dalam tempoh 50 tahun.

Tambah beliau, sebagai syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), PAAB bertanggungjawab membangunkan dan membiayai aset infrastruktur air sebelum disewakan kepada operator air negeri melalui perjanjian jangka panjang.

Dalam pada itu, Jaseni mencadangkan kerajaan negeri meningkatkan kapasiti empangan bagi memastikan kelestarian bekalan air jangka panjang, termasuk menambah kapasiti simpanan kepada sekurang-kurangnya enam bulan sejajar dengan perubahan iklim semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!