Industri minyak di ambang ‘bom jangka’

Sebuah stesen minyak di Shah Alam lengang walaupun harga minyak RON95 minggu ini semakin jatuh kepada RM1.38 seliter.
Sebuah stesen minyak di Shah Alam lengang walaupun harga minyak RON95 minggu ini semakin jatuh kepada RM1.38 seliter.
A
A
A

SECARA purata peningkatan harga minyak mentah dunia sebanyak AS$1 untuk satu tong akan meningkatkan hasil pendapatan kerajaan Malaysia kira-kira RM300 juta setahun.

Itu pun dengan andaian bahawa tukaran wang asing dan jumlah pengeluaran minyak mentah dunia tidak berubah.

Tetapi cuba kita bayangkan apa yang bakal berlaku bukan sahaja kepada industri minyak dan gas, bahkan kepada ekonomi Malaysia apabila dua krisis dahsyat, kejatuhan harga minyak dan wabak Covid-19, kini bertembung.

Di Malaysia, dengan wabak koronavirus kini sedang menjunamkan harga minyak mentah dunia ke paras terendah hampir menyamai krisis 1998, nilai ringgit juga semakin tergelincir berbanding dolar Amerika Syarikat.

Harga satu tong minyak mentah brent setakat semalam ialah AS$23.03 setong berbanding pada Mac tahun lalu AS$65 setong.

Pada harga AS$23.03 itu, ia merupakan harga terendah sejak November 2002.

Sementara itu, nilai ringgit Malaysia pula jatuh terus kepada RM4.35 berbanding AS$1.

Ketika kereta tidak lagi bergerak, kapal terbang tidak membelah awan dan kilang tidak beroperasi, maka minyak mentah kini menjadi satu lambakan komoditi di pasaran.

Artikel Berkaitan:

Bermula dengan China yang melaksanakan lockdown, diikuti dengan satu demi satu negara lain di dunia, Covid-19 membawa awan hitam kepada industri minyak dan gas.

Dua perkataan oleh Pakar Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir untuk menggambarkan situasi ekonomi yang bakal berlaku: ‘bom jangka‘.

Bagi pakar ekonomi yang telah menghasilkan lebih 27 buah buku berkaitan ekonomi dan kewangan itu, dengan tiga bilion penduduk dunia sedang berkurung di rumah ia ibarat satu bom jangka kepada pihak industri dan juga Malaysia.

Ini kerana, katanya, kita tidak boleh menafikan sehingga kini pentadbiran kerajaan Persekutuan masih dibiayai sebahagiannya oleh ‘subsidi percuma’ daripada Tuhan iaitu minyak.

Jika pada zaman Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kebergantungan kerajaan terhadap sumber minyak diturunkan kepada 14.9 peratus, namun kini ia kembali naik mencecah 33 peratus.

“China adalah antara negara terbesar mengimport minyak. Apabila semakin banyak negara terpaksa melaksanakan lockdown, harga minyak dijangka terus jatuh.

Cukai

“Kalau trend angkara Covid-19 ini berlarutan, ia akan beri kesan kepada negara yang bergantung kepada minyak sebagai sumber pendapatan seperti Malaysia. Ia juga akan beri kesan kepada mata wang. Ia bakal jadi bom jangka yang belum berani dicakap ramai pemimpin,” katanya.

Jelas Shamsuddin, kejatuhan harga minyak dunia juga sebenarnya wajar dilihat daripada beberapa kaca mata.

“Kalau kaca mata sesetengah rakyat, mungkin ada yang gembira bila harga minyak dunia jatuh, sebab harga petrol di pam juga murah.

“Tapi itu dari kaca mata rakyat yang mungkin tidak melihat situasi secara keseluruhannya. Sebab cuba kita fikir balik, dalam keadaan sekarang minyak murah sampai RM1.38 seliter, tapi berapa kali sahaja kita mengisi minyak kereta sebab kereta pun tidak bergerak.

“Tapi bagi kerajaan dan juga sebahagian rakyat lain yang melihat dalam skop yang lebih luas, bila harga minyak jatuh kerajaan telah hilang sumber pendapatan.

“Jadi tidak mustahil untuk tampung semula pendapatan kerajaan, lebih banyak cukai baharu yang perlu diperkenalkan. Kita sudah buat pun sebelum ini, GST adalah salah satu contohnya,” ujar Shamsuddin.

Bersetuju dengan pendapat Shamsuddin, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abd Rashid berkata, harga minyak runcit yang rendah seharusnya membawa berita gembira kepada para pengguna, namun disebabkan faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), manfaat tersebut kurang dirasai berikutan kurang pergerakan.

“Seperti yang kita maklum, perjanjian antara negara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan beberapa negara bukan OPEC akan berakhir pada akhir Mac. Bermula April, negara-negara pengeluar minyak bebas untuk menentukan paras pengeluaran minyak masing-masing.

“Justeru, isu lebihan penawaran merupakan satu faktor. Faktor kedua pula ialah permintaan yang mana risiko kemelesetan ekonomi global juga dilihat kian meningkat.

“Sehubungan itu, permintaan terhadap minyak juga bakal terjejas. Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan harga minyak mentah dunia berada dalam paras yang rendah ketika ini,” jelas beliau.

Operasi stesen

Malah beliau mengakui, daripada prospek ekonomi, situasinya kini semakin mencabar akibat pertembungan beberapa krisis pada satu masa.

“Cakap-cakap berkenaan kemelesetan ekonomi global semakin kuat kedengaran. Dan kerajaan di serata dunia kian aktif dalam memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi.

“Buat masa ini, kerajaan Malaysia telah melakukan yang terbaik bagi meminimumkan kesan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19. Justeru, tanggungjawab rakyat adalah mematuhi PKP supaya rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan,” katanya kepada Sinar Harian.

Harga minyak mentah Brent dari Mac 2019 hingga 12 Mac 2020
Harga minyak mentah Brent dari Mac 2019 hingga 12 Mac 2020

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz dalam satu laporan sebelum ini mengakui pengusaha dan peruncit petrol di seluruh negara kemungkinan terpaksa menghentikan operasi masing-masing akibat tekanan kewangan kerana penurunan harga bahan api serta kurangnya permintaan.

“Setiap hari kami menjual mengikut harga belian sebelum ini iaitu RM1.82 (seliter) dan kemudiannya harga itu turun kepada RM1.44 iaitu pengurangan sebanyak 38 sen untuk RON95.

“Penyusutan harga ini telah berlanjutan selama tiga minggu dan kami telah mengalami kerugian RM40,000 untuk minggu ini sahaja yang merupakan sebahagian daripada modal kerja kami. Malah, pada akhir bulan, kami perlu membayar gaji pekerja dan bil elektrik antara RM30,000 dan RM70,000,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan pengumuman terkini semalam, pengusaha stesen minyak mungkin boleh menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju memendekkan operasi perniagaan stesen minyak dari jam 8 pagi sehingga jam 8 malam sahaja.

Harga RON95 di Malaysia

Tempoh Harga/seliter Jumlah naik/turun

15 - 21 Februari RM2.06 (naik) 2 sen

22 - 28 Februari RM2.08 (naik) 2 sen

29 - 6 Mac RM2.08 Kekal

7 - 13 Mac RM1.89 (turun) 19 sen

14 - 20 Mac RM1.82 (turun) 7 sen

21 - 27 Mac RM1.44 (turun) 38 sen

28 Mar - 3 April RM1.38 (turun) 6 sen)

* Penurunan sebanyak 70 sen sejak 7 Mac lalu