Mahkamah Rayuan putuskan kerajaan tidak bertanggungjawab kes kematian tahanan

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati ia bertanggungjawab atas kematian tahanan. Gambar hiasan
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati ia bertanggungjawab atas kematian tahanan. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan hari ini berjaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati ia bertanggungjawab kerana cuai susulan kematian pengawal keselamatan yang menggantung dirinya ketika ditahan di lokap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Klang pada 2019.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan kerajaan itu, yang difailkan bersama-sama Pengarah Maritim Selangor dan pegawai penyiasat agensi berkenaan, dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang turut memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar ganti rugi RM194,170 kepada keluarga M Thinagaran.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Mohamed Zaini berkata, meskipun perayu mempunyai kewajipan am untuk menjaga mangsa ketika berada dalam tahanan, Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila memutuskan bahwa risiko membunuh diri adalah sesuatu yang munasabah untuk dijangkakan dalam kes tersebut.

"Bukti dalam kes ini menunjukkan bahawa si mati tidak mempamerkan kecenderungan untuk membunuh diri, telah menjalani penilaian perubatan dan kelihatan normal serta stabil semasa pemantauan berkala… justeru, kebolehramalan yang merupakan unsur penting dalam menentukan liabiliti, tidak dapat dibuktikan,” katanya.

Beliau berkata, kes Thinagaran adalah serupa dengan keputusan kes Sushila Rani Ramasamy lwn Kerajaan Malaysia & Lain-Lain, yang menyaksikan Mahkamah Rayuan memutuskan risiko bunuh diri mestilah berpunca daripada sejarah lampau si mati bagi membuktikan kewujudan risiko khusus yang boleh diramalkan.

Mohamed Zaini, yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Nadzarin Wok Nordin, turut menolak rayuan balas keluarga Thinagaran terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan ganti rugi mereka atas tort salah guna jawatan awam, pelanggaran kewajipan statutori serta ganti rugi teladan.

Mahkamah memerintahkan kos sebanyak RM40,000 dibayar kepada perayu.

Balu Thinagaran iaitu R Tenaswari dan bapanya, K Madhavan, yang juga pentadbir bersama harta pusaka si mati, telah menyaman kesemua perayu atas alasan kecuaian, pelanggaran kewajipan statutori dan tort salah guna jawatan awam.

Mahkamah Tinggi hanya membenarkan tuntutan bagi kecuaian selepas mendapati bukti tidak mencukupi bagi menyokong dakwaan lain.

Artikel Berkaitan:

Hakim Mahkamah Tinggi memberikan ganti rugi sebanyak RM172,800 bagi kehilangan pendapatan, RM6,370 sebagai ganti rugi khas, RM5,000 bagi perbelanjaan pengebumian dan RM10,000 bagi perkabungan.

Fakta kes mendedahkan bahawa pada 9 Jan 2019, bertindak atas maklumat, beberapa pegawai APMM telah memintas sebuah kapal yang mencurigakan di perairan Selangor, dan menjumpai Thinagaran serta seorang lagi individu iaitu R. Inthiran di atas kapal itu manakala pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan beberapa bungkusan yang kemudiannya disahkan mengandungi dadah.

Kedua-dua lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan dan ditempatkan di pejabat penguatkuasaan maritim di Klang.

Thinagaran telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Hospital pada hari yang sama untuk mendapatkan rawatan dan dia didiagnosis mengalami sakit kepala berkaitan tekanan serta diberikan ubat.

Dia ditemukan meninggal dunia empat hari kemudian kerana membunuh diri dan bedah siasat mengesahkan bahawa punca kematian adalah akibat gantung diri.

Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin dan Siti Syakimah Ibrahim hadir bagi pihak perayu manakala peguam M. Manoharan serta P.Subramaniam mewakili keluarga si mati. - Bernama

Ringkasan AI

  • Kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati ia bertanggungjawab atas kematian pengawal keselamatan di lokap Maritim Malaysia pada 2019
  • Mahkamah Rayuan memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar ganti rugi RM194,170 kepada keluarga M Thinagaran
  • Risiko membunuh diri tidak munasabah dijangkakan sebagai penilaian Mahkamah Tinggi dipertikaikan kerana tiada bukti kecenderungan si mati untuk bunuh diri
  • Kes ini dikaitkan dengan prinsip kes Sushila Rani yang menyatakan risiko bunuh diri perlu berpunca dari sejarah lampau untuk membuktikan risiko khusus yang boleh diramalkan
  • Mahkamah menolak rayuan keluarga Thinagaran terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, memerintahkan kos sebanyak RM40,000 dibayar kepada perayu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!