Trofi Piala Dunia kembali ke Malaysia selepas 12 tahun

PENANTIAN lebih sedekad peminat bola sepak tanah air untuk melihat secara dekat Piala Dunia terubat apabila trofi berprestij itu singgah ke Malaysia pada Rabu.
Kali terakhir Piala Dunia dibawa ke Malaysia pada 12 tahun lalu dan kehadiran semula trofi ikonik itu ternyata menggamit nostalgia selain menghangatkan lagi bahang penganjuran Piala Dunia 2026 pada Jun ini.
Lebih manis, Malaysia mendapat penghormatan apabila dipilih sebagai destinasi pertama di rantau ASEAN bagi siri Jelajah Trofi Piala Dunia itu.
Presiden Unit Operasi ASEAN & Pasifik Selatan The Coca-Cola Company, Selman Careaga berkata, persinggahan trofi itu ke Kuala Lumpur adalah simbolik penghargaan terhadap sokongan padu rakyat Malaysia yang tidak pernah luntur terhadap sukan nombor satu dunia itu.
"Membawa trofi asal Piala Dunia FIFA kembali ke Malaysia merupakan satu detik penuh bermakna.
"Bola sepak mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyatukan komuniti," katanya dalam ucapan ketika upacara sambutan ketibaan trofi itu di Subang Skypark pada Rabu.
Malaysia merupakan antara 30 negara terpilih daripada keseluruhan 211 Persatuan Ahli FIFA yang menerima kunjungan jelajah eksklusif ini.
Mengulas mengenai keunikan trofi tersebut, Selman menjelaskan bahawa orang ramai berpeluang melihat sendiri piala yang menjadi rebutan dunia itu yang diperbuat daripada emas padu 18 karat seberat lebih enam kilogram.
"Apa yang berdiri di hadapan anda adalah sesuatu yang luar biasa. Reka bentuk tahun 1974 ini kekal sebagai simbol sukan paling diiktiraf di dunia.
"Ia ikon yang tidak ternilai dan tidak boleh disentuh sembarangan melainkan oleh bekas pemenang Piala Dunia dan Ketua Negara. Pasukan yang juara hanya mendapat replika, tetapi trofi asal inilah yang mengelilingi dunia," ujarnya.
Selepas upacara di Subang, trofi berkenaan dibawa ke Sunway Pyramid untuk dipamerkan kepada umum, memberi peluang kepada peminat bola sepak tempatan merakam kenangan sekali dalam seumur hidup itu.
Ringkasan AI
- Penantian lebih sedekad peminat bola sepak tanah air berakhir apabila Piala Dunia singgah ke Malaysia
- Malaysia dipilih sebagai destinasi pertama di rantau ASEAN bagi siri Jelajah Trofi Piala Dunia
- Kehadiran trofi adalah penghargaan untuk sokongan padu rakyat Malaysia terhadap bola sepak
- Malaysia antara 30 negara terpilih daripada 211 Persatuan Ahli FIFA yang menerima kunjungan trofi
- Trofi Piala Dunia yang diperbuat daripada emas padu 18 karat ini hanya boleh disentuh oleh bekas pemenang dan Ketua Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
