Aksi 'tendangan kungfu' kembali cemari Liga 4, dada pemain bola sepak Indonesia diterajang

KANCAH bola sepak Indonesia kembali dicemari insiden keganasan apabila satu lagi aksi ‘tendangan kungfu’ berlaku dalam saingan Liga 4, kali ini membabitkan perlawanan di Jawa Tengah.
Insiden mengerikan itu berlaku ketika pertemuan antara Persikaba Blora menentang PSIR Rembang di Stadium Krida Rembang, pada Rabu.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, kejadian bermula apabila berlaku perebutan bola di udara di dalam kotak penalti.
Penjaga gol PSIR, Raihan Alfariq yang cuba menyelamatkan keadaan dilihat gagal menangkap bola tersebut, sebaliknya mengangkat kaki terlalu tinggi sehingga terkena dada pemain Persikaba, Rizal Dimas Agesta.
Tindakan melulu itu menyebabkan Rizal terus rebah di atas padang.
Pihak Persikaba Blora menerusi kenyataan di Instagram memaklumkan, Rizal mengalami kecederaan di bahagian dada kanan dan terpaksa diberikan bantuan oksigen sejurus insiden tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan warga maya dan peminat bola sepak, pengadil perlawanan dilaporkan tidak memberikan sebarang hukuman atau faul terhadap penjaga gol berkenaan susulan terjahan keras itu.
Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 0-0.
Penjaga gol tampil mohon maaf
Sedar tindakannya mengundang kecaman hebat, Raihan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi satu hantaran video.
Raihan menegaskan bahawa tindakannya itu adalah tidak disengajakan dan hanyalah tindak balas refleks semata-mata.
"Saya dalam kesadaran penuh dan atas nama peribadi memohon maaf atas insiden yang menimpa salah seorang pemain Persikaba Blora, Rizal Dimas Agesta.
"Insiden petang tadi murni (sepenuhnya) akibat gerakan refleks saya tanpa ada sedikit pun niat untuk mencederakan saudara kami Rizal," katanya.
Raihan turut memohon maaf kepada pihak pengurusan Persikaba Blora serta pasukannya sendiri, PSIR Rembang atas kejadian yang mencemarkan imej perlawanan itu.
Kejadian ini menambah deretan kes kekasaran dalam saingan bawahan Liga Indonesia. Dalam tempoh kurang sebulan, pelbagai insiden termasuk terjahan keras ketika meraikan gol telah dilaporkan berlaku di Liga 4.
Ringkasan AI
- Keganasan dalam bola sepak Indonesia berlaku lagi dengan insiden 'tendangan kungfu' di Liga 4 Jawa Tengah
- Insiden ini melibatkan penjaga gol PSIR, Raihan Alfariq yang terlalu tinggi mengangkat kaki sehingga terkena dada pemain Persikaba, Rizal Dimas Agesta
- Rizal mengalami kecederaan di dada kanan dan memerlukan bantuan oksigen selepas insiden
- Pengadil tidak memberikan sebarang hukuman kepada Raihan Alfariq walaupun aksinya mengundang kecaman
- Raihan Alfariq memohon maaf publik, menegaskan tindakannya bukan disengajakan tetapi hanyalah refleks
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
