'Ibarat tiada ayah, bola sepak Kelantan tanpa arah tuju'

KAFA ibarat digantung tidak bertali apabila sehingga kini tiada jalan penyelesaian konkrit dicapai berhubung status badan induk tersebut. Gambar kecil: Ahmad Muzakkir
KAFA ibarat digantung tidak bertali apabila sehingga kini tiada jalan penyelesaian konkrit dicapai berhubung status badan induk tersebut. Gambar kecil: Ahmad Muzakkir
A
A
A

SITUASI yang melanda Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ibarat digantung tidak bertali apabila sehingga kini tiada jalan penyelesaian konkrit dicapai berhubung status badan induk tersebut.

Bekas Naib Presiden KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, situasi itu menyebabkan hala tuju bola sepak Kelantan terumbang-ambing selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantung badan induk negeri itu pada Disember 2024 lalu.

Menurutnya, tempoh penggantungan yang berlarutan hampir dua tahun itu telah merencatkan segala aktiviti pembangunan sukan nombor satu itu di Kelantan, malah tiada sebarang pelan perancangan atau ‘blue print’ yang jelas dapat dilaksanakan.

“KAFA sekarang ini digantung seperti tidak bertali. Jadi apa yang perlu dilakukan? Hampir dua tahun digantung, aktiviti bola sepak di Kelantan terbantut.

“Ibarat ayah tiada, anak jadi berkeliaran. Tiada hala tuju yang jelas untuk bola sepak Kelantan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Terdahulu, FAM telah menggantung KAFA sebagai ahli gabungan susulan Kongres Tahunan Ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi sesi 2024-2028 didakwa tidak sah.

Keputusan itu dibuat selepas FAM mendapati terdapat ahli gabungan yang sah tidak dijemput hadir ke kongres berkenaan selain tatacara pengendalian mesyuarat yang tidak mematuhi prosedur ditetapkan.

Mengulas lanjut, Ahmad Muzakkir meluahkan kekecewaan terhadap situasi antara pihak berwajib yang menyebabkan isu ini menemui jalan buntu.

Beliau mendakwa, tiada kata putus yang jelas daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) mahupun FAM, menyebabkan pihak yang menunggu untuk pemilihan baharu tidak dapat berbuat apa-apa.

Artikel Berkaitan:

“Saya mencadangkan pihak bertanggungjawab campur tangan segera, antaranya Exco Sukan Negeri Kelantan, PJS dan FAM. PJS perlu bagi kata muktamad.

“Jika FAM kata perlu rujuk PJS, dan kemudian ditolak kembali kepada FAM, ia tidak akan selesai dan hanya merugikan bola sepak negeri Kelantan. Kalau perlu buat pemilihan balik, mesti ada notis dan sebagainya, tetapi sekarang senyap sunyi,” ujarnya.

Justeru, beliau mendesak supaya kata putus dapat dicapai dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) segera diadakan bagi membolehkan tampuk kepimpinan baharu dipilih secara sah dan penggantungan dapat ditarik balik.

Tambahnya, walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan, beliau terpanggil untuk menyuarakan perkara ini selepas diminta oleh rakan-rakan dalam KAFA yang buntu dengan situasi semasa.

“Orang KAFA pun ada minta tolong saya bertanya kepada PJS dan FAM sebab saya tiada jawatan dan lebih bebas bersuara. Besar harapan saya agar perkara ini dapat diselesaikan segera demi kelangsungan bola sepak Kelantan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Situasi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terumbang-ambing pasca digantung oleh FAM pada Disember 2024
  • Bekas Naib Presiden KAFA menyatakan penggantungan hampir dua tahun telah merencatkan pembangunan bola sepak di Kelantan
  • FAM menggantung KAFA kerana Kongres Tahunan Ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan
  • Tiada kata putus dari Pesuruhjaya Sukan atau FAM bagi menyelesaikan isu, menimbulkan kebuntuan
  • Desakan untuk campur tangan segera dari pihak berwajib bagi mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dan memilih kepimpinan baharu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!