ABCD empat teras utama KUSKOP

Steven Sim
Steven Sim
A
A
A

KUALA LUMPUR – Strategi ABCD yang merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran digariskan sebagai empat teras utama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memperkukuh daya saing perniagaan tempatan menjelang 2026 dan tahun-tahun seterusnya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, keempat-empat teras itu membentuk hala tuju strategik kementerian dalam usaha memperhebat pertumbuhan perniagaan Malaysia, khususnya melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Strategi ABCD ini adalah misi bersama. Saya mahu seluruh warga KUSKOP, sama ada di kementerian atau agensi, memberi fokus penuh untuk memperhebat perniagaan Malaysia melalui pendekatan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun 2026, di sini, pada Selasa.

Menurut beliau, teras Anjakan Produktiviti (A) memberi penekanan kepada peningkatan keupayaan perniagaan melalui pembangunan kemahiran pekerja, penyesuaian tenaga buruh serta penggunaan teknologi seperti automasi dan pendigitalan bagi melonjakkan kecekapan operasi PMKS.

Bagi teras Birokrasi Dipermudah (B) pula, Sim berkata kementerian akan terus mengurangkan kekangan pentadbiran yang membantutkan pertumbuhan perniagaan dengan mempermudah prosedur, mempercepat proses kelulusan dan memperluaskan penggunaan sistem dalam talian.

Beliau berkata, teras Capaian Modal (C) menjadi semakin kritikal dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar bagi memastikan syarikat tempatan mempunyai akses pembiayaan mencukupi untuk merebut peluang pelaburan dan permintaan antarabangsa.

“Kita mahu memastikan capaian kepada modal lebih luas supaya perniagaan Malaysia boleh mendapat manfaat daripada perubahan landskap geopolitik dan ekonomi dunia,” katanya.

Sementara itu, Sim menegaskan teras Daya Akses Pasaran (D) adalah kunci untuk menterjemahkan peningkatan produktiviti, pengurangan birokrasi dan sokongan kewangan kepada pertumbuhan sebenar perniagaan.

“Kita tidak mahu peluang ekonomi hanya dibolot syarikat besar. PMKS, produk tempatan dan syarikat Malaysia mesti turut menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan suntikan dana kerajaan hampir RM34 bilion menerusi langkah seperti kenaikan gaji penjawat awam, Bantuan Awal Persekolahan serta program Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah dijangka membuka ruang besar kepada perniagaan tempatan untuk berkembang.

Selain itu, KUSKOP akan bekerjasama dengan institusi kewangan dan kementerian berkaitan bagi menurunkan kos pembiayaan serta mempermudah akses kredit, di samping menggalakkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor korporat memberi keutamaan kepada produk tempatan dalam perolehan.

Sim berkata, pelaksanaan strategi ABCD secara konsisten diyakini mampu mencetuskan perubahan ketara dalam landskap perniagaan negara dan mengukuhkan daya saing perniagaan tempatan dalam jangka panjang.

 

Ringkasan AI

  • Strategi ABCD oleh KUSKOP bagi perniagaan tempatan termasuk Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran
  • Misi bersama untuk memperhebat pertumbuhan perniagaan Malaysia terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana
  • Penekanan pada peningkatan keupayaan perniagaan melalui pembangunan kemahiran dan penggunaan teknologi
  • Pemudahan proses perniagaan dengan mengurangkan kekangan pentadbiran dan memperluas penggunaan sistem dalam talian
  • Memperluas akses pembiayaan dan memberi keutamaan kepada produk tempatan bagi meningkatkan daya saing perniagaan tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!