Bau busuk bawa penemuan mayat tepi tasik

Pasukan bomba dipanggil bagi membantu mengangkat mayat ke kawasan selamat untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak polis dan pakar forensik.
Pasukan bomba dipanggil bagi membantu mengangkat mayat ke kawasan selamat untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak polis dan pakar forensik.
A
A
A

IPOH – Bau busuk yang dihidu seorang lelaki ketika memberi makan ikan membawa kepada penemuan satu mayat di Tasik Tiara Lake View Plaza dekat Lahat di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan penemuan mayat lelaki dipercayai warga tempatan itu diterima kira-kira jam 5.40 petang.

"Setiba di lokasi, mayat ditemui dalam keadaan tertiarap dan terapung berhampiran tebing tasik, lengkap berpakaian serta memakai kasut,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Menurut Abang Zainal Abidin, pemeriksaan awal di kawasan sekitar tidak menemui sebarang kesan pergelutan, kesan darah atau barangan mencurigakan.

“Tiada kenderaan lama atau mencurigakan ditinggalkan di sekeliling tasik,” jelasnya.

Beliau berkata, pasukan bomba dipanggil bagi membantu mengangkat mayat ke kawasan selamat untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak polis dan pakar forensik.

Katanya, hasil pemeriksaan awal oleh pakar forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati, mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda kecederaan, namun mayat dalam keadaan membusuk.

"Mangsa dipercayai meninggal lebih daripada sehari sebelum ditemui.

"Tiada dokumen pengenalan diri dijumpai, tetapi mangsa dipercayai warga tempatan berdasarkan kesan suntikan BCG (vaksin Bacillus Calmette-Guerin) di bahu kiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian lelaki tersebut.

Ringkasan AI

  • Bau busuk ketika memberi makan ikan membawa kepada penemuan mayat di Tasik Tiara Lake View Plaza
  • Mayat lelaki warga tempatan ditemui terapung berhampiran tebing tasik
  • Tiada kesan pergelutan, darah, atau barangan mencurigakan di sekitar
  • Pasukan bomba dipanggil untuk mengangkat mayat
  • Mangsa dipercayai meninggal lebih daripada sehari sebelum ditemui, tiada tanda kecederaan tetapi kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!