Zumba berpakaian sekolah tanpa kain: JPKK Bukit Badong larang penganjur guna dewan

Laporan Sinar Harian pada 18 Januari 2026.
Laporan Sinar Harian pada 18 Januari 2026.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Badong mengambil tindakan tegas dengan menghentikan serta-merta aktiviti zumba serta melarang penganjur menggunakan dewan orang ramai kampung itu bagi sebarang aktiviti pada masa depan.

Pengerusi JPKK Kampung Bukit Badong, Muhammad Nasir Ahmad berkata, tindakan itu diambil selepas satu rakaman sesi zumba berpakaian seragam sekolah tanpa memakai kain dibuat secara Live di aplikasi TikTok pada Ahad lalu mencetuskan kontroversi dan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 hingga 10 pagi membabitkan program zumba khusus untuk wanita yang dianjurkan sejak 2018 di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Badong kerana kadar sewaan yang rendah iaitu RM10 sejam.

"Program ini sebelum ini dijalankan secara tertutup bagi menjaga kesopanan dan kehormatan peserta.

"Namun kali ini, ia menjadi tular apabila salah seorang jurulatih membuat siaran Live TikTok bertemakan ‘Back To School’ dan mengenakan pakaian sekolah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Lebih mendukacitakan, katanya, semasa siaran Live itu, terdapat jurulatih bertindak membuka kain dengan alasan pergerakan terbatas, lalu imej berkenaan dirakam dan ditularkan di pelbagai platform media sosial.

Susulan kejadian itu, Muhammad Nasir berkata, amaran keras telah diberikan kepada penganjur termasuk tidak lagi dibenarkan menggunakan dewan untuk sebarang aktiviti zumba.

Dalam pada itu, beliau difahamkan, polis telah membuka kertas siasatan dengan penganjur dan tiga individu telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

"Pegawai JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) juga telah turun ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Nasir menegaskan, pihak JPKK sentiasa menekankan syarat penggunaan dewan termasuk keperluan memastikan aktiviti dijalankan secara tertutup serta mematuhi adab dan kesopanan.

"Tindakan penganjur membuat siaran Live TikTok sehingga mendedahkan aktiviti tertutup kepada umum amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku," tegas beliau.

Isu itu sebelum ini mencetuskan kecaman warganet di media sosial yang mempersoalkan pemakaian tidak sopan serta kesesuaian aktiviti itu khususnya apabila melibatkan imej berpakaian menyerupai seragam sekolah.

Terdahulu media melaporkan, JAIS akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada susulan penularan sebuah rakaman video di aplikasi TikTok memaparkan aktiviti senaman aerobik tidak sopan didakwa berlaku di dewan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan berhubung penularan gambar dan video program senaman zumba berkenaan.

Katanya, pihaknya mengesan gambar dan video berkaitan program zumba bertemakan 'back to school' yang dimuat naik di sebuah laman Facebook kira-kira jam 11.13 pagi Sabtu.

Salah seorang pemilik akaun media sosial Threads kemudiannya tampil memohon maaf berhubung isu tular berkenaan.

Individu itu berkata, kejadian berlaku secara spontan ketika aktiviti zumba diadakan dan bukan atas pengetahuan penganjur.

Ringkasan AI

  • JPKK Bukit Badong menghentikan aktiviti zumba dan melarang penganjur menggunakan dewan kampung itu untuk aktiviti masa depan Tindakan diambil selepas sesi zumba berpakaian seragam sekolah tanpa kain menjadi kontroversi di TikTok Program zumba khusus untuk wanita ini diadakan sejak 2018 dengan sewa RM10 sejam di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Badong Rakaman berkenaan menunjukkan jurulatih membuka kain kerana pergerakan terbatas semasa siaran langsung, menimbulkan kontroversi Polis dan JAIS melakukan siasatan berhubung insiden tersebut, dengan tiga individu dipanggil memberi keterangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!