PRK Kinabatangan, Lamag: 93 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab - SPR

Petugas SPR membawa beg berisi kotak undi dengan diiringi pihak polis setelah proses pengundian awal bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan tamat tepat jam 5 petang pada Selasa. Foto: Bernama
Petugas SPR membawa beg berisi kotak undi dengan diiringi pihak polis setelah proses pengundian awal bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan tamat tepat jam 5 petang pada Selasa. Foto: Bernama
A
A
A

KINABATANGAN - Sebanyak 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Selasa. 

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata agensi itu, merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukannya kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik.

"Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Polis Diraja Malaysia, petugas media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Proses pengundian awal yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, melibatkan satu saluran pengundian dan sebanyak 189 orang anggota polis layak untuk mengundi awal dalam kedua-dua PRK berkenaan.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan. - Bernama 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Sebanyak 93 peratus anggota polis telah mengundi awal dalam PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag
  • Setiausaha SPR mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses pengundian
  • Pengundian awal berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan
  • PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag menyaksikan saingan tiga penjuru dan satu lawan satu
  • PRK diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!