Kenyataan Rozi disalah tafsir, tiada kerjasama UMNO, Pas di Terengganu

Nurhisam
Nurhisam
A
A
A

KUALA TERENGGANU – UMNO Terengganu menegaskan parti itu tidak mempunyai sebarang hasrat untuk bergabung dengan Pas sama ada melalui Muafakat Nasional (MN) atau sebarang bentuk kerjasama politik lain.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT), Nurhisam Johari berkata, perkara itu disebabkan kelemahan serius tadbir urus kerajaan negeri pimpinan Pas yang dilihat menjejaskan imej Islam.

Menurutnya, sebarang tafsiran yang menganggap kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat yang dilaporkan sebelum ini sebagai pelawaan kepada Pas adalah kesilapan yang disengajakan serta mengelirukan rakyat.

Jelas beliau, kenyataan berkenaan sebenarnya merupakan sindiran politik yang tegas terhadap kelemahan pentadbiran Pas di Terengganu yang semakin jelas dan sukar dinafikan.

"Saya ingin menegaskan pendirian yang jelas dan konsisten bahawa UMNO Terengganu tidak mempunyai sebarang hasrat untuk bergabung dengan Pas, sama ada melalui Muafakat Nasional atau mana-mana bentuk kerjasama politik lain,"katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Nurhisam berkata, kelemahan pentadbiran Pas bukan lagi isu kecil atau bersifat teknikal, sebaliknya telah mencapai tahap membimbangkan apabila kerajaan negeri yang memerintah bertahun-tahun masih gagal mengurus kewangan dengan berkesan.

"Keadaan ini terbukti apabila pembayaran bonus penjawat awam terpaksa dimohon daripada Kerajaan Persekutuan. Ini bukan soal politik kepartian semata-mata, sebaliknya soal keupayaan mentadbir dan tanggungjawab terhadap rakyat," jelasnya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan apabila Pas sering membawa label Islam seolah-olah pentadbiran parti itu mencerminkan keupayaan Islam dalam mengurus negara dan ekonomi.

Katanya, kegagalan tadbir urus, ketidakcekapan kewangan serta kelemahan perancangan yang berterusan berisiko disalah tafsir sebagai kegagalan Islam itu sendiri, termasuk oleh pemerhati luar.

Artikel Berkaitan:

"UMNO tidak boleh membiarkan Islam dipandang rendah hanya kerana kegagalan sebuah parti politik yang menggunakan agama sebagai jenama, tetapi gagal membuktikan kecekapan dalam pentadbiran," tegasnya.

Dalam pada itu, Nurhisam menegaskan Islam tidak boleh dijadikan perisai untuk menutup kegagalan pentadbiran, sebaliknya menuntut keadilan, kecekapan, amanah dan kebijaksanaan.

Beliau juga menyifatkan Pas tidak wajar berbicara soal kesatuan dan kerjasama politik sedangkan hubungan parti itu dengan rakan dalam Perikatan Nasional, khususnya Bersatu, dilihat semakin retak dan penuh percanggahan.

"Gabungan yang gagal mengurus kesepaduan dalaman tidak memberi keyakinan kepada rakyat untuk mentadbir dengan lebih baik,"ujarnya.

Beliau berkata, UMNO kekal konsisten mengkritik berdasarkan pengalaman sebenar dan realiti pentadbiran, bukan sentimen politik.

"Kami bersuara bukan untuk meraih simpati, tetapi demi membela kepentingan rakyat dan maruah Islam itu sendiri," ujarnya.

Justeru, katanya, Pas perlu menghentikan permainan naratif politik dan mula menjawab persoalan asas rakyat termasuk kegagalan mengembangkan hasil negeri serta kelemahan berterusan dalam pengurusan kewangan.

"UMNO memilih untuk bercakap melalui fakta, bukan slogan,"ujar beliau.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Rozi berkata, UMNO Terengganu sedia bekerjasama dengan Pas bagi menebus kembali kekalahan dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut sebelum ini.

Laporan itu turut menyebut beliau menyatakan kerjasama itu selaras cadangan Musyawarah Nasional bagi membincangkan agenda politik Melayu merangkumi semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.

Ringkasan AI

  • UMNO Terengganu menegaskan tiada hasrat bergabung dengan Pas melalui Muafakat Nasional atau kerjasama politik lain
  • Kelemahan pentadbiran Pas di Terengganu dilihat sebagai faktor utama, termasuk dalam urusan kewangan dan pembayaran bonus penjawat awam
  • Kritikan terhadap Pas merupakan sindiran politik terhadap kegagalan mereka dalam tadbir urus negeri
  • UMNO bimbang kegagalan Pas akan mempengaruhi persepsi terhadap Islam, menuntut pentadbiran yang adil dan efisien
  • UMNO kekal kritikal berdasarkan realiti pentadbiran, menolak penggunaan Islam sebagai perisai untuk menutup kegagalan administratif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!