PRK Kinabatangan: 83.07 peratus pengundi selesai tunai tanggungjawab setakat 12 tengah hari

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun bersama Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden D Ravi (kanan) ketika meninjau proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan. Foto Bernama
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun bersama Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden D Ravi (kanan) ketika meninjau proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan. Foto Bernama
A
A
A

KINABATANGAN - Proses mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang berlangsung pada Selasa mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 83.07 peratus atau 157 anggota polis setakat 12 tengah hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pula, sebanyak 147 anggota polis atau 78.19 peratus telah menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam tempoh yang sama.

Proses pengundian bagi memilih Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu di situ berlangsung di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan melibatkan 196 anggota polis dengan 189 daripadanya mengundi secara fizikal, manakala tujuh anggota lagi secara undi pos.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlangsung antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lepas.

Parlimen Kinabatangan merangkumi tiga DUN iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut dengan keseluruhan 48,722 pengundi berdaftar, manakala DUN Lamag mempunyai 13,899 pengundi.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Proses mengundi awal PRK Parlimen Kinabatangan mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 83.07 peratus atau 157 anggota polis
  • PRK DUN Lamag mencatatkan keluar mengundi sebanyak 78.19 peratus atau 147 anggota polis
  • Mengundi berlangsung di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan melibatkan 196 anggota polis
  • PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru manakala PRK DUN Lamag pertandingan satu lawan satu
  • PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!