Baki tiga hari kempen PRK DUN Lamag, jentera BN jangan alpa

Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha ketika ditemui pemberita semasa hadir meninjau proses pengundian awal sempena PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan. Foto Bernama
Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha ketika ditemui pemberita semasa hadir meninjau proses pengundian awal sempena PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan. Foto Bernama
A
A
A

KINABATANGAN - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Mohd Ismail Ayob akan memanfaatkan tempoh kempen yang berbaki tiga hari sebelum hari pengundian Sabtu ini dengan melipatgandakan gerak kerja.

Mohd Ismail yang lebih dikenali sebagai Miha berkata, walaupun momentum kempennya kini berada pada tahap terbaik, beliau tidak mahu jentera pilihan rayanya alpa, sebaliknya terus giat mendekati seberapa ramai pengundi di kawasan DUN berkenaan.

"Kami sudah selesai melawat semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan DUN Lamag dan akan berusaha mengadakan pusingan kedua agar dapat bertemu semula dengan semua pengundi,” katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan yang melibatkan 196 anggota polis dengan 189 daripadanya mengundi secara fizikal, manakala tujuh anggota lagi secara undi pos.

Dalam pada itu, beliau optimis BN mampu melakar kemenangan di DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan pada PRK kali ini berdasarkan maklum balas positif pengundi yang diperoleh menerusi tinjauan serta lawatan ke seluruh PDM.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Ia diadakan susulan kematian penyandang Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lepas.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Calon Barisan Nasional untuk PRK DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob akan intensifkan gerak kerja kempen dalam tiga hari terakhir
  • Mohd Ismail, atau Miha, tidak ingin jentera kempennya lengah meskipun momentum kini berada pada tahap terbaik
  • Sudah melawat semua Pusat Daerah Mengundi di DUN Lamag dan merancang pusingan kedua temu janji
  • Optimis BN akan menang di DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan berdasarkan maklum balas positif daripada pengundi
  • PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!