APAD perkenal sistem pangkalan data, pantau pemandu kenderaan berat

Masita (kanan) bersama Che Ibrahim semasa merasmikan Kempen Mutiara Sihat Sejahtera di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad di Kota Bharu pada Rabu.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Masita (kanan) bersama Che Ibrahim semasa merasmikan Kempen Mutiara Sihat Sejahtera di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad di Kota Bharu pada Rabu.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang merancang pelaksanaan satu sistem pangkalan data bersepadu bagi menghimpunkan maklumat semua pemandu kenderaan berat di negara ini, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan dan pematuhan dalam industri pengangkutan awam darat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APAD, Masita Mat Isa berkata, sistem tersebut akan mengintegrasikan data daripada beberapa agensi utama termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Menurut beliau, melalui sistem berkenaan, pihak pengendali bas dan kenderaan berat akan mendapat kepastian sama ada seseorang pemandu itu layak serta fit untuk memandu sebelum diambil bekerja.

“Fungsinya adalah untuk meletakkan pemandu dalam satu sistem pangkalan data yang bersepadu. Menerusi sistem ini, syarikat pengendali boleh mengakses maklumat pemandu dan mengetahui sama ada individu berkenaan layak atau tidak untuk memandu,” katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu beliau merasmikan Kempen Mutiara Sihat Sejahtera di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad di sini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.

Ujar Masita, menerusi pelaksanaan sistem itu kelak, semua pemandu kenderaan berat akan memiliki satu kad pemandu sebagai pengenalan rasmi.

Tambahnya, manakala semua kenderaan berat akan disatukan di bawah sistem pemantauan yang sama.

“Setiap pemandu akan ada satu kad pemandu. Ini melibatkan semua pemandu kenderaan berat termasuk bas dan lori. Dengan adanya sistem ini, pemantauan terhadap latar belakang serta rekod pemanduan dapat dilakukan dengan lebih telus dan berkesan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, antara kelebihan utama sistem berkenaan ialah keupayaan syarikat pengendali untuk menyemak sejarah pemandu sebelum menawarkan pekerjaan, sekali gus mengelakkan pengambilan pemandu bermasalah.

“Sejarah pemandu termasuk rekod saman, kesalahan lalu lintas, penglibatan dadah atau isu lain dapat dikenal pasti lebih awal. Ini penting bagi memastikan hanya pemandu yang berdisiplin dan berkelayakan dibenarkan mengendalikan kenderaan berat,” katanya.

Masita menberitahu, pelaksanaan sistem tersebut kini masih menunggu kelulusan di peringkat awal, termasuk kelulusan peruntukan kewangan daripada Kementerian Kewangan (MOF).

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Masita memaklumkan bahawa sistem berkenaan akan melibatkan seramai 10,446 pengendali bas dan 40,668 pengendali lori di seluruh negara.

“Secara keseluruhan, lebih 50,000 syarikat pengendali bas dan lori akan terlibat. Ini menunjukkan skala pelaksanaan sistem ini yang besar dan penting demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Ringkasan AI

  • APAD merancang sistem pangkalan data bersepadu untuk menghimpunkan maklumat pemandu kenderaan berat
  • Sistem akan mengintegrasikan data dari JPJ, PDRM dan AADK
  • Sistem membolehkan pengendali bas dan kenderaan berat menyemak kelayakan pemandu sebelum pengambilan kerja
  • Setiap pemandu kenderaan berat akan miliki kad pemandu sebagai pengenalan rasmi
  • Lebih 50,000 syarikat pengendali bas dan lori akan terlibat dalam sistem ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!