Sudah ada pelajar ambil SPM umur 16 tahun di Malaysia – Fadhlina

Fadlina pada sidang akhbar selepas menghadiri Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di Alor Setar pada Rabu.
Fadlina pada sidang akhbar selepas menghadiri Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR – Pelaksanaan dasar baharu membenarkan murid berusia enam tahun memasuki Tahun Satu pada 2027 menyaksikan mereka akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seawal usia 16 tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu telah pun dilaksanakan di Akademi Sains Pendang apabila sebahagian pelajar menduduki SPM lebih awal daripada kebiasaan.

Menurutnya, pengalaman tersebut membuktikan sistem pendidikan negara mampu menampung pelaksanaan dasar baharu berkenaan.

“Tak ada masalah. Dasar pendidikan masih sama iaitu sekolah rendah enam tahun dan menengah lima tahun. Kalau dasar baharu ini dilaksana, tempoh persekolahan tetap sama.

“Jadi pelajar akan ambil SPM pada umur 16 tahun dan memang sudah ada anak-anak kita ambil pada umur itu di Akademi Sains Pendang. Jadi bukan benda baharu kerana kita sudah ada pengalaman. Ini kerana ada anak-anak kita yang telah bersedia lebih awal daripada umur mereka,” katanya pada sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di sini.

Mengulas mengenai keperluan meletakkan pembantu guru bagi membantu guru mengajar murid Tahun Satu berusia enam tahun, Fadhlina menjelaskan bahawa pembantu guru akan ditempatkan di sekolah yang mempunyai bilangan murid ramai.

Menurutnya, sistem sekolah masih ikut arus perdana dan ibu bapa perlu memberikan kepercayaan kepada Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan dasar baharu berkenaan.

“Jadi jangan risau kerana guru memang sudah terlatih untuk mendidik murid pada usia enam tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan perkara asing, ia berlaku di seluruh dunia dan ia memberikan keyakinan bahawa tidak ada anak yang tercicir dalam sistem pendidikan,”ujarnya.

Tambahnya, dasar baharu ini memberi fleksibiliti kepada ibu bapa dan murid yang bersedia lebih awal tanpa menjejaskan struktur pendidikan arus perdana.

Ringkasan AI

  • Pelaksanaan dasar baharu membenarkan murid berusia enam tahun masuk Tahun Satu pada 2027, mereka akan ambil SPM pada usia 16 tahun
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan dasar ini sudah dilaksanakan di Akademi Sains Pendang dengan pelajar mengambil SPM lebih awal
  • Pengalaman Akademi Sains Pendang membuktikan sistem pendidikan negara mampu menampung dasar baharu ini
  • Pembantu guru akan ditempatkan di sekolah dengan bilangan murid ramai untuk membantu pengajaran murid Tahun Satu
  • Dasar baharu ini memberi fleksibiliti kepada ibu bapa dan murid tanpa menjejaskan struktur pendidikan arus perdana

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!