Program interaksi Menteri KPT bersama kepimpinan mahasiswa bermula Februari depan

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersetuju untuk mengadakan program interaksi khas bersama kepimpinan mahasiswa universiti bermula Februari ini sebagai langkah awal memastikan pelaksanaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) berjalan selari dengan aspirasi golongan pelajar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, persetujuan itu dicapai hasil pertemuan rasmi beliau bersama kepimpinan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang diwakili Presidennya, Muhammad Haykal Halid di pejabatnya pada Rabu.
Ujar beliau, program tersebut akan memberi ruang interaksi secara lebih terbuka dan santai antara kementerian dan mahasiswa bagi mendengar pandangan serta cadangan mereka ke arah menjayakan pelaksanaan pelan pendidikan tinggi negara.
"Setiap universiti ada pimpinan utamanya, 20 orang pimpinan utama dan kita ada 20 universiti. Saya minta supaya politeknik dan universiti swasta dilibatkan supaya kementerian dapat berinteraksi secara santai, terbuka dan mendengar pandangan-pandangan mereka ke arah KPT melaksanakan pelan pendidikan," katanya menerusi sidang akhbar.
Menurut beliau, antara cabaran utama selepas peluncuran PPTM ialah memastikan setiap dasar dan inisiatif yang digariskan dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat institusi pengajian tinggi.
Katanya, fasa pasca-pelancaran menuntut pendekatan lebih praktikal dan tersusun, khususnya melibatkan peranan mahasiswa sebagai kelompok yang terkesan secara langsung dengan pelaksanaan pelan berkenaan.
“Selepas peluncuran, cabaran utama kita ialah pelaksanaan. Bagaimana kita nak melaksanakannya dan memastikan ia benar-benar sampai kepada mahasiswa di universiti, politeknik serta kolej komuniti,” jelasnya.
Sehubungan itu, Zambry berkata, penglibatan awal kepimpinan mahasiswa dilihat penting bagi membantu kementerian mengenal pasti isu di peringkat akar umbi, selain mendapatkan maklum balas terus sebelum langkah susulan dilaksanakan.
PTTM 2026-2035 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serentak bersama merupakan hala tuju jangka panjang dan komprehensif baharu bagi sektor pendidikan tinggi negara untuk tempoh sedekad akan datang.
Pelan itu dirangka bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal relevan, berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi perubahan global selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
PTTM akan memastikan pendidikan tinggi berjaya melahirkan pembina negara yang berpaksikan kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan berdaya tahan demi menerajui kemampanan.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Tinggi bersetuju mengadakan program interaksi khas dengan kepimpinan mahasiswa untuk memastikan pelaksanaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia berjalan selari dengan aspirasi pelajar
- Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mencapai persetujuan tersebut hasil pertemuan dengan kepimpinan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan
- Program tersebut bertujuan untuk mendengar pandangan dan cadangan mahasiswa ke arah menjayakan pelaksanaan pelan pendidikan tinggi
- Antara cabaran utama selepas peluncuran PPTM ialah memastikan setiap dasar dan inisiatif dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat institusi pendidikan tinggi
- Penglibatan awal kepimpinan mahasiswa penting untuk mengenal pasti isu di peringkat akar umbi dan mendapatkan maklum balas sebelum langkah susulan dilaksanakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

