Kepercayaan terhadap ATM: Bila integriti jadi pertaruhan

KEPERCAYAAN rakyat terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sesuatu yang mudah dibina, namun boleh terjejas dalam sekelip mata apabila timbul isu berkait integriti dan salah guna kuasa.
Kenyataan tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencerminkan kesedaran bahawa reputasi pasukan keselamatan negara kini berada pada satu persimpangan penting.
Tekad dan tegas beliau untuk bersama-sama memulihkan semula kepercayaan bangsa dan negara terhadap pasukan keselamatan negara itu.
ATM selama ini dianggap sebagai benteng pertama dan terakhir dalam memelihara kedaulatan dan juga pertahanan, keselamatan negara.
Justeru, apabila beberapa kes siasatan dan tahanan melibatkan pegawai keselamatan dilaporkan, impaknya bukan sekadar kepada individu terlibat, tetapi turut menggugat keyakinan awam terhadap institusi yang menjadi benteng pertahanan negara.
Ketegasan kerajaan untuk mengheret mana-mana pihak yang terlibat ke muka pengadilan boleh dilihat sebagai langkah perlu bagi memulihkan keyakinan tersebut.
Dalam konteks ini, mesej yang cuba disampaikan jelas iaitu tiada kompromi terhadap rasuah dan kecurangan kuasa, walaupun melibatkan pasukan yang selama ini dipandang tinggi.
Namun, usaha membanteras salah laku tidak boleh dilihat semata-mata sebagai tindakan menghukum selain menuntut pembaharuan dari segi tadbir urus, mekanisme pemantauan serta budaya integriti yang lebih kukuh dalam organisasi.
Tanpa perubahan menyeluruh, tindakan tegas berisiko dianggap bersifat reaktif dan bermusim, dalam masa sama, peringatan agar rakyat berlaku adil terhadap ATM wajar diberi perhatian.
Realitinya, majoriti anggota pasukan ini masih berkhidmat dengan penuh dedikasi, berintegriti dan sanggup berkorban demi negara, mereka tidak seharusnya menanggung stigma akibat perbuatan segelintir individu.
Di sinilah cabaran sebenar kerajaan dan kepimpinan ATM bagaimana menegakkan keadilan tanpa melemahkan moral pasukan.
Ketelusan dalam siasatan perlu berjalan seiring dengan komunikasi berhemah supaya mesej yang sampai kepada rakyat tidak disalah tafsir.
Ringkasan AI
- KEPERCAYAAN rakyat terhadap ATM mudah terjejas apabila timbul isu integriti dan salah guna kuasa
- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berhasrat memulihkan kepercayaan terhadap pasukan keselamatan
- ATM dianggap sebagai benteng terakhir dalam memelihara kedaulatan negara
- Ketegasan kerajaan dalam menghukum pihak terlibat dalam salah laku dilihat sebagai langkah pemulihan keyakinan
- Perubahan menyeluruh dalam tadbir urus dan budaya integriti organisasi diperlukan untuk membanteras rasuah dan kecurangan kuasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
