Kos senyap yang mengancam masa depan pekerja

Individu yang mengalami burnout pula enam kali lebih cenderung merancang untuk meninggalkan pekerjaan dalam tempoh singkat.
Individu yang mengalami burnout pula enam kali lebih cenderung merancang untuk meninggalkan pekerjaan dalam tempoh singkat.
A
A
A

BUDAYA kerja toksik sering disorokkan di sebalik alasan tekanan kerja yang dianggap normal dalam dunia pekerjaan moden.

Ungkapan seperti kerja memang kena tahan, ini lumrah dunia korporat atau semua orang lalui perkara sama kerap digunakan untuk menormalisasikan tingkah laku yang sebenarnya boleh merosakkan kesejahteraan golongan pekerja.

Realitinya, budaya kerja toksik bukan soal ketahanan individu sebaliknya berpunca daripada kelemahan sistem dan kepimpinan organisasi.

Satu kajian oleh World Economic Forum (WEF) bersama McKinsey Health Institute pernah mendedahkan bahawa tingkah laku toksik di tempat kerja merupakan punca terbesar berlakunya burnout dan niat berhenti kerja, mengatasi faktor gaji, beban tugas atau fleksibiliti kerja.

Kajian global yang melibatkan hampir 15,000 pekerja di 15 negara itu mendapati bahawa pekerja yang terdedah kepada budaya kerja toksik lapan kali lebih berisiko mengalami burnout.

Lebih membimbangkan, individu yang mengalami 'burnout' pula enam kali lebih cenderung merancang untuk meninggalkan pekerjaan dalam tempoh singkat.

Dapatan ini sekali gus menolak tanggapan lama bahawa keletihan berpunca daripada pekerja yang tidak tahan tekanan. Sebaliknya, masalah utama dikenal pasti berpunca daripada gaya kepimpinan yang gagal membina kepercayaan.

Sikap ketua yang gemar mengawal secara berlebihan, menyalahkan pekerja, tidak konsisten serta enggan mendengar maklum balas menjadi pencetus utama tekanan berpanjangan.

Dalam persekitaran sebegini, pekerja bukan sahaja hilang motivasi malah kehilangan rasa selamat untuk menyuarakan pandangan.

Artikel Berkaitan:

Situasi boleh menjadi lebih parah apabila wujud persekitaran kerja yang sarat dengan sindiran, herdikan dan komunikasi pasif-agresif. Budaya negatif ini sebenarnya menutup ruang dialog sihat dan melemahkan hubungan kerja. Apabila pekerja takut bersuara, inovasi terhenti dan masalah dibiarkan berlarutan.

Kesannya, sebuah organisasi itu menjadi defensif, lambat bertindak dan akhirnya hilang daya saing dalam pasaran yang semakin mencabar.

Keletihan di tempat kerja juga bukan semata-mata berpunca daripada jumlah kerja yang banyak. Ia sering berpunca daripada ketiadaan kawalan, kejelasan peranan dan sokongan emosi.

Pekerja yang hanya menurut arahan tanpa diberi suara lebih cepat mengalami keletihan mental.

Budaya yang gagal menghargai sumbangan pula mempercepatkan fenomena 'quiet quitting', iaitu keadaan di mana pekerja hadir secara fizikal tetapi mentalnya sudah ‘berundur’.

Ketiadaan keselamatan psikologi menjadikan pekerja takut melakukan kesilapan atau melaporkan masalah. Dalam suasana ini, burnout bukan lagi pengecualian sebaliknya menjadi norma yang diterima secara senyap.

Sebuah organisasi mungkin kelihatan berfungsi tetapi hakikatnya sedang kehilangan tenaga, idea dan komitmen daripada dalam.

Dalam konteks Malaysia, dapatan ini amat relevan. Ketika kos sara hidup meningkat dan pasaran kerja semakin kompetitif, budaya kerja toksik hanya akan mempercepatkan kehilangan bakat, meningkatkan kadar keluar masuk pekerja serta menjejaskan produktiviti nasional.

Hakikatnya, semakin ramai pekerja memilih untuk berhenti kerja bukan kerana gaji semata-mata tetapi kerana enggan terus berada dalam persekitaran kerja yang merosakkan.

Mesej yang mahu disampaikan di sini adalah jelas, budaya kerja sihat bukan sekadar satu slogan sumber manusia tetapi strategi ekonomi.

Selagi isu kepimpinan dan sistem organisasi tidak diperbetulkan, budaya kerja toksik akan terus menjadi kos senyap yang membunuh prestasi serta masa depan tenaga kerja negara.

*Liza Mokhtar ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!