Jangan hanya tutur, hayati dan martabat bahasa Melayu

BAHASA Melayu merupakan identiti negara Malaysia, bukan sekadar alat komunikasi harian. Ia berperanan sebagai lambang kebangsaan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum dan budaya. Tanpa penguasaan terhadap bahasa rasmi ini, identiti nasional berisiko menjadi kabur dan rapuh.
Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu perlu melangkaui percakapan harian. Ia mesti diterapkan secara menyeluruh dalam urusan rasmi, termasuk pentadbiran kerajaan, dokumen undang-undang dan prosedur birokrasi.
Dengan pendekatan ini, bahasa Melayu akan menjadi bahasa rasmi yang benar-benar hidup dan berfungsi dalam setiap lapisan masyarakat.
Sektor swasta dan dunia perniagaan turut disaran memberi perhatian serius terhadap penggunaan bahasa kebangsaan. Dalam pengiklanan, komunikasi korporat dan media pemasaran, penggunaan bahasa Melayu wajar diutamakan agar mesej yang disampaikan dapat difahami dan diterima oleh semua lapisan rakyat.
Dalam masa yang sama, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bertitah bahawa sebarang usaha merangka sistem pendidikan baharu perlu selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan menjadikan bahasa Melayu sebagai teras utama pelaksanaannya.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian kerana sistem pendidikan negara perlu diperkasa sebagai asas pembangunan bangsa, pembentukan jati diri dan penentu masa depan negara.
Apabila seluruh rakyat menggunakan bahasa yang sama dalam kehidupan seharian dan sistem rasmi, jurang antara kaum dan budaya dapat dikurangkan. Ini sekali gus memperkukuh semangat perpaduan nasional yang menjadi teras kestabilan negara.
Negara yang berjaya memartabatkan bahasa rasmi ialah negara yang memiliki identiti yang kukuh dan dihormati di peringkat antarabangsa. Bahasa mencerminkan tamadun dan kekuatan budaya sesebuah bangsa.
Kesimpulannya, penggunaan bahasa Melayu sepatutnya tidak terhad kepada pertuturan semata-mata. Ia perlu diwarisi, dihayati dan dimartabatkan oleh setiap generasi agar kekal relevan dan menjadi lambang perpaduan rakyat Malaysia sepanjang zaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

